Laut Oman ‘kubur’ tentera AS

TEHRAN – Laut Oman akan bertukar menjadi ‘kubur’ tentera Washington jika Amerika Syarikat (AS) tidak menamatkan sekatan maritim terhadap pelabuhan di Iran, demikian amaran keras oleh seorang pegawai kanan keselamatan Iran.

Amaran itu disuarakan oleh ahli Majlis Penasihat Kepentingan Iran yang juga bekas Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mohsen Rezaei, ketika ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin meruncing.

“Kami menasihatkan tentera AS untuk menamatkan pengepungan ini sebelum Laut Oman menjadi kubur anda,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kerajaan Iran.

Rezaei menyifatkan sekatan laut oleh pentadbiran Washington sebagai tindakan perang dan menegaskan Tehran mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk mempertahankan kedaulatannya.

Beliau turut memberi amaran bahawa semakin lama sekatan tersebut dikekalkan, semakin besar kesan ekonomi berantai serta gangguan bekalan tenaga global.

Mengenai prospek rundingan, Rezaei berkata Washington perlu membuktikan keikhlasan melalui tindakan sebelum sebarang perjanjian dapat dicapai.

“Amerika yang perlu membuktikan diri mereka sekarang. Angkatan tentera kami berada dalam kesiapsiagaan tertinggi dengan jari di picu senjata, namun ruang diplomasi masih diteruskan,” tambahnya.

Sekatan maritim oleh tentera laut AS dilaporkan mula dikuatkuasakan sejak 13 April lalu selepas Presiden AS, Donald Trump, menetapkan syarat tertentu kepada Tehran dalam pelan damai yang dicadangkan.

Related posts

Leave a Comment