Nurul Izzah ambil kira penyatuan parti

SEPANG 7 Mei –  Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang dicadangkan bertanding untuk jawatan No. 2 parti pada pemilihan hujung bulan ini akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi dan pimpinan parti itu.

Katanya, dalam membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak merebut jawatan Timbalan Presiden, beliau akan mengambil kira soal penyatuan dan persepakatan dalaman parti, sebelum mempertimbangkan sebarang keputusan.

“Keadilan sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan saja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia.

“Saya akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden serta jawatan peringkat pusat lain akan mula dibuka esok sehingga Jumaat ini, secara dalam talian.

Nurul Izzah turut menghargai sokongan serta pandangan akar umbi yang mahukan dirinya bertanding merebut jawatan itu.

“Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan Keadilan secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah,” katanya.

Sejak semalam, pimpinan PKR peringkat cabang, negeri serta pusat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Rafizi setakat ini menyatakan kesediaan untuk mempertahankan jawatan itu dan pada masa yang sama terbuka menerima penyertaan bekas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment