SUDAH 10 hari kita berhari raya. Sekolah sudah dibuka selepas anak-anak sekolah serta guru-guru berhari raya seminggu. Ruang pejabat sama ada kerajaan atau swasta kembali seperti biasa. Urusan kaunter kembali sibuk.
Isnin, saya ke KWSP Kajang. Urusan pengeluaran pinjaman perumahan secara ansuran. Setiap 12 bulan akan buat. Itulah satu-satunya sumber pendapatan yang ada untuk bayar pinjaman selepas bersara. Alhamdulillah ada simpanan.
Ramai yang beratur untuk dapatkan perkhidmatan. Tiba giliran saya untuk mohon pengeluaran tahunan. Disuruh pula buat online. Bab ni saya memang malas. Saya lebih gemar ke kaunter. Mudah. Apatah lagi di sudut online pun ramai beratur.
Apabila saya berkeras mahu ke kaunter, dia cakap kena bawa dokumen padahal sebelum ini hanya perlu kad pengenalan (IC). Saya pulang hampa. Kecewa. Marah pun ada. Buang masa beratur. Sakitnya hati tengok urusan kaunter lengang.
Hari berikutnya, Selasa, saya ke KWSP Nilai. Urusan yang sama. Tunjuk IC, ambil nombor giliran. Di kaunter sekali lagi tunjuk IC dan nyatakan hasrat di hati. Mudah. Sekejap selesai. Terima kasih petugas KWSP Nilai. Mudah dan mesra layanan di sini.
Itu sekadar mukadimah. Selak kali ini masih berkaitan hari raya. Sebulan berpuasa sebulan beraya. Tetapi jangan lupa puasa enam. Besar ganjarannya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)
Hari raya kali ini ada kelainan. Berdasarkan laporan di media sosial (medsos) ada banyak kelainan pada sambutan. Saya fokuskan kepada tiga perkara – Mercun, Joget dan Kartun. Masa sudah berubah. Pengisian hari raya juga berubah.
Malam raya, suasana mengalahkan sambutan Tahun Baharu Cina. Jika malam-malam sebelumnya bergema selawat ketika Tarawih dan malam itu sepatutnya dengan takbir raya, keadaan berubah dengan dentuman mercun dan bunga api.
Kali ini, menjelang hari raya, bersepah gerai menjual bunga api dan mercun. Memang luar biasa orang berniaga bahan-bahan itu berbanding sebelum ini.
Mungkinkah suasana itu menggambarkan ekonomi yang baik? Tidakkah itu satu pembaziran? Memudaratkan serta bahaya – pada diri sendiri, orang lain, jiran tetangga serta boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakan harta benda.
“Dan janganlah engkau membelanjakan harta mu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan,” (Surah al-Isra’:27). Ingat tu saudara-saudara syaitan!
Berkaitan syaitan juga, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan,”.
Benar, Ramadan yang kita sibukkan dengan ibadah – puasa, Tarawih, Tadarus al-Quran, Qiamullail, berzikir, menahan nafsu syahwat dan sebagainya dapat menghalang kita dipengaruhi syaitan. Tetapi tiba Syawal keadaan berubah!
Hakikatnya, mercun yang mencetuskan bunyi yang kuat mengganggu ketenteraman awam. Terutama jiran terdekat. Ketika inilah kita rindukan raya zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kurang meriahkah tanpa mercun dan bunga api?
Hari raya kali ini juga kita dipersembahkan dengan berjoget untuk mendapatkan duit raya. Bukan setakat budak-budak tetapi yang sedihnya warga emas juga dilibatkan sama dengan aksi terkinja-kinja, lompat melompat sebelum diberi duit raya.
Dah jadi macam upah, bukan lagi sedekah. Kemudian dimuat naik pula di media sosial untuk tontonan umum. Adakah itu hasil daripada madrasah Ramadan?
Amat malang jika ketika berjoget untuk menerima duit raya itu mempamerkan aurat wanita yang sudah tentu boleh menjadi haram. Begitu juga jika trend menari tersebut dilihat menyerupai amalan agama lain.
Benar langkah itu mahu menimbulkan keceriaan dan kebahagiaan tetapi itu bukan caranya. Berilah duit raya dengan ikhlas, bukan dicemari dengan kaedah yang seolah-olah sebagai upah dan meminta-minta.
Semoga tidak ada anak-anak muda yang dipengaruhi medsos ini meminta ibu bapa mereka turut berjoget sebelum memberi duit raya. Jika ada biar dalam keluarga sahaja yang tahu, tidak perlu disebar luas ke seluruh dunia.
Ikutlah budaya kita, masyarakat Islam bersalaman dan mengucapkan kemaafan. Jika mahu menghulurkan duit raya, hulurlah secara ikhlas tanpa mahu ‘mendera’ umpama mengadakan kuiz, hulur tanpa rasa riak atau menunjuk-nunjuk.
Satu lagi perkara baharu yang membuatkan umat Islam terjebak ketika menyambut Aidilfitri tahun ini apabila gambar keluarga pada hari raya bertukar menjadi gambar kartun. Dah macam keluarga Upin Ipin, tetapi ‘mereka memang dilahirkan’ begitu.
Aidilfitri kali ini ramai yang berjinak-jinak dengan ChatGPT untuk menghasilkan gambar kartun Ghibli. Ramai yang edit gambar keluarga berhari raya menjadi kartun dengan pelbagai gaya, macam anime dan ala-ala Pixar.
Akibat pengaruh media sosial, maka berebut-rebut keluarga Melayu kita memuat naik gambar wajah ‘kartun’ yang juga tidak dapat kita saksikan semasa sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas. Begitulah kemeriahan Aidilfitri.
Sudah tentu mereka yang terjebak menjadikan foto keluarga kartun itu menganggap ia juga satu bentuk hiburan, sama seperti bermain mercun dan joget duit raya. Ia juga bukan sesuatu yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah.
Namun mengambil semangat Madrasah Ramadan, berhati-hatilah dengan ‘hiburan’ seumpama ini supaya kita tidak terjebak dalam perbuatan yang melalaikan. Biarlah mereka yang lebih berilmu memberi ulasan.
Namun dalam hal ini, Selak tertarik dengan isu yang hampir sama dengan kehadiran wajah kartun ini apabila terbaca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung hukum mengubah wajah melalui aplikasi mengubah wajah (FaceApp).
Aplikasi tersebut boleh mengubah wajah kepada tua mahupun muda dan menukar kepada berlainan jantina. Tidak pasti sama ada maklumat itu terpakai juga untuk penukaran wajah ini. Mungkin jauh bezanya dan tidak ada kaitan. Hanya sekadar panduan.
Ingatlah firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya),”
Surah At-Tin: (4)
Untuk maklumat lanjut bolehlah layari IRSYAD HUKUM SIRI KE- 524 : HUKUM MENGUBAH FOTO WAJAH MENGGUNAKAN FACEAPP.
Semoga masyarakat bijak memilih sebarang aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat ketika menjalani kehidupan bukannya ghairah melayani pelbagai ‘tawaran medsos’ yang sia-sia, kecuali sekadar hiburan.
Nnnn