‘Menjawab keperluan sebenar rakyat’

KUANTAN – Kerajaan negeri perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur tetapi menjawab keperluan sebenar rakyat.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ini kerana rakyat menilai kerajaan bukan pada kata-kata tetapi pada tindakan, penyelesaian dan hasil kerja.

Justeru baginda menitahkan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri Pahang terus memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya juga mengambil maklum akan suara rakyat, pemaju dan pelabur yang melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan dalam proses kelulusan projek serta permohonan tanah yang sering terhalang oleh karenah birokrasi yang Panjang.

“Maka saya mahu perkara ini dikaji dengan serius dan ditangani dengan segera. Birokrasi yang cermat adalah penting tetapi birokrasi yang membelenggu adalah beban yang harus dileraikan.

Pahang tidak boleh bergerak maju jika kita masih terikat dengan sistem lapuk yang melemahkan daya saing.

“Oleh itu saya ingin melihat satu perubahan yang drastik dalam pendekatan pentadbiran kali ini daripada menunggu kepada mendahului, daripada beralasan kepada menyelesaikan dan daripada melindungi kelemahan kepada memperjuangkan penambahbaikan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Pahang  Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Pahang,  Fazdilla Salleh di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail.

Terdahulu, baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nazri atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu danDatuk Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Pahang baharu.

Titah baginda, pelantikan ni bukan sahaja satu penghormatan atau keistimewaan semata-mata tetapi satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi keikhlasan dan tanggungjawab.

Menurut baginda, kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri tetapi juga daripada rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada kewibawaan dan kebijaksanaan pemimpin negeri.

“Jadilah pemimpin yang bukan sahaja cekap dan berilmu tetapi juga berjiwa besar, rendah hati dan menjunjung tinggi nilai integriti dalam setiap tindakan. Berbaktilah dengan jujur, bertindak adil dan sentiasalah meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala yang lain,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment