Wajib vaksinasi sebelum ke luar negara

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Jun – Penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) yang ingin membuat perjalanan keluar negara perlu mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 secara mandatori yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021.

Menurut Kementerian Kesihatan, peraturan itu berikutan dengan pengemaskinian Garis Panduan Permohonan Keluar Negeri.

Bagaimanapun, kebenaran perjalanan keluar negara tidak akan diberikan secara automatik walaupun selepas vaksinasi, di mana setiap permohonan perjalanan keluar tertakluk kepada penilaian dan kebenaran Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mereka yang terlibat bolehlah membuat tempahan slot vaksinasi masing-masing melalui aplikasi BruHealth terlebih dahulu sebelum mengunjungi Pusat-pusat Vaksinasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Perjalanan ke luar negara adalah bagi tujuan  bertugas di luar negara; Transport Operators; pekerja warganegara asing yang berhasrat untuk pulang ke negara asal bagi tujuan cuti kontrak mandatori (mandatory contract leave) dan akan kembali ke NBD (atas pas pekerjaan atau pas tanggungan yang masih sah); urusan perniagaan; dan urusan-urusan mustahak (essential travels) yang lain.

Bagi pejalan (inbound travellers) yang kembali ke NBD dari mana-mana lapangan terbang luar negara dikehendaki menjalani pengasingan diri mandatori di hotel penginapan masing-masing, tertakluk kepada jangka waktu ditetapkan berdasarkan kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan.

Related posts

Leave a Comment