219 ketua keluarga terima sumbangan

SHAH ALAM 9 April – Sebanyak 219 ketua keluarga yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights masing-masing sudah menerima sumbangan tunai RM10,000 dan RM5,000 manakala 250 lagi akan menerima sumbangan dalam minggu ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sudah memuktamadkan seramai 469 ketua isi rumah yang layak untuk menerima sumbangan sama ada RM10,000 atau RM5,000 yang diumumkan sebelum ini.

“In syaa-Allah kita yakin kita akan dapat menyelesaikan sumbangan pada akhir minggu ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annexe di sini hari ini.

Amirudin berkata, mulai malam ini, laman sesawang dibangunkan bagi menerangkan semua bantuan yang diberikan termasuk sumbangan tunai, bantuan sewa, kenderaan dan sebagainya.

Pada masa sama katanya, sejumlah 469 keluarga disahkan sebagai penduduk terkesan akibat insiden itu oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Angka ini berbeza dengan jumlah yang mendaftar dengan PPS, iaitu seramai 613 keluarga yang meliputi kawasan di luar daripada taman perumahan dan kampung yang terkesan.

“Pejabat Daerah Petaling akan memuktamadkan proses verikasi ini

menjelang Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata, mulai Isnin depan, Pejabat Tanah dan Galian Selangor akan membantu keluarga yang kehilangan geran akibat insiden terbabit.

Related posts

Leave a Comment