KUALA LUMPUR 11 Jun – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap pembinaan bangunan empat tingkat yang didiami warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata pihak berkuasa lain termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu melakukan siasatan menyeluruh terhadap bangunan haram berkenaan yang bebas beroperasi.
“Amat mengejutkan bagaimana sebuah struktur fizikal yang besar boleh dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan, dan dibiarkan beroperasi dalam tempoh yang lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MCW mengambil maklum premis berkenaan pernah diserbu dalam operasi bersepadu Februari tahun lalu yang membawa kepada penahanan puluhan warga asing oleh Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, persoalan yang belum terjawab ialah mengapa ia berlarutan sehingga hari ini.
Sekiranya bangunan itu dibina tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau kelulusan pihak berkuasa tempatan, MCW mempersoalkan bagaimana sebuah struktur bersaiz besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Jais berkata, laporan status sebenar bangunan itu perlu didedah kepada umum bagi mengelak spekulasi dan sentimen perkauman.
“Persoalan sebenar bukan isu kaum atau etnik, sebaliknya integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan bangunan dan kemungkinan berlakunya kecuaian atau salah guna kuasa oleh pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu, pemilik tanah atau penghuni, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara, wajib mematuhi undang-undang negara.
“Kegagalan bertindak secara tegas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pelbagai tindakan diambil agensi kerajaan sejak 2016 bagi menangani isu bangunan penempatan etnik Rohingya di situ.
Tindakan berkenaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta penguatkuasaan.
“Untuk makluman, tindakan dan penguatkuasaan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan terbabit bukanlah perkara baharu.
“Pelbagai tindakan telah diambil oleh agensi kerajaan sejak 2016 termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta tindakan penguatkuasaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta perobohan,” katanya.
