TIBA-tiba SUMBER mendedahkan kesalahan lampau Abang Belon yang didakwa mempunyai 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dengan kesalahan dadah. Apa tujuannya dan apa kaitan dengan jual belon tanpa lesen?
Pelik, belum masuk mahkamah, sudah didedahkan kesalahan lampau. Lainlah jika di mahkamah nanti pihak pendakwaan mahu mengaitkan kesalahan lampau dengan kesalahan terkini mempunyai kaitan. Itu pun rasanya pelik.
Jika benar Zaim atau Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, memiliki rekod jenayah lampau, apa kaitannya dengan kes dia ‘dikasari atau dizalimi’ oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya kerana tiada lesen jual belon?
Zaim didakwa bertindak agresif ketika mahu mempertahankan belonnya daripada terlepas ke udara yang bakal merugikannya. Sama ada agresif atau provokatif, kita tunggu masa perbicaraan nanti.
Namun isu sekarang kenapa didedahkan kesalahan lampau itu? Lainlah ketika dikasari, tidak semena-mena di tangan Abang Belon atau di saku seluar atau baju, ditemukan dadah. Jika itu berlaku, bolehlah dikaitkan dengan kesalahan lampau.
Melalui media sosial, ramai yang memberi pelbagai reaksi berhubung pendedahan itu. Ada yang mendakwa ia bagi ‘mewajarkan’ tindak tanduk penguat kuasa, mengaibkan atau mendedahkan siapa sebenarnya pemuda itu. Hebatnya Zaim.
Sebaliknya, pendedahan sumber itu juga secara tidak langsung umpama membuka pekung di dada. Meludah ke langit timpa batang hidung sendiri.
Kita tidak ambil peduli siapakah sumber itu tetapi sudah tentu ada kaitan dengan pihak yang mempunyai rekod simpanan atau latar belakang individu berkenaan. Siapakah yang dimaksudkan pihak berkuasa itu? Jawablah sendiri.
Mana mungkin pihak di luar kerajaan mempunyai rekod sebegitu rupa seterusnya mendedahkan kepada awam melalui media.
Mungkin sumber itu boleh tampil ke hadapan untuk mewajarkan kenapa pendedahan itu dimaklumkan kepada media. Lainlah jika sumber itu memberitahu mahkamah, itu pun jika yang dituduh berkait kes salah guna dadah atau setara dengannya.
Sebaliknya kes yang dihadapi berkaitan tiada lesen jual belon bukannya belon itu ‘positif’ dadah. Pada masa yang sama ‘mengganggu’ tugas penjawat awam.
Satu lagi persoalan, kenapa ‘dibiarkan’ sehingga 13 kesalahan? Apakah tidak ada tindakan susulan pihak berkuasa bagi mengelakkan Zaim mengulangi kesilapan lampau? Kenapa tidak dipulihkan dan membawanya kembali ke pangkal jalan?
Adakah selama ini mereka yang mempunyai kesalahan sebegitu dijatuhi hukuman dan tidak dipulihkan? Adakah sistem pemulihan kita bermasalah? Apa peranan masyarakat dan apa tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan?
Contohnya Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), sebuah NGO yang membela nasib dan kebajikan bekas penagih dadah. Jika dikaitkan dengan dadah, kenapa Zaim dibiarkan mengulangi kesalahan yang sama?
Di sinilah nampak kelemahan pihak berkuasa dalam menangani masalah dadah atau jenayah lain. Mungkinkah mereka yang bersalah dibiarkan menerima hukuman sahaja dan kembali kepada masyarakat dengan ‘tangan kosong’, tanpa sokongan.
Adakah kita mahu mengajar masyarakat supaya menolak golongan seperti ini kembali ke pangkuan masyarakat? Dalam erti kata lain sudah tidak ada jalan pulang untuk mereka kembali membetulkan kesilapan lalu?
Kini Abang Belon sudah pun membuat laporan polis. Sebelum ini juga pihak DBKL turut membuat laporan polis. Zaim mengambil keputusan membuat laporan bagi mempertahankan diri dan maruah keluarganya.
Zaim berniaga belon sebagai ‘part time’ sempena bulan Ramadan dan Hari Raya kerana pekerjaan sepenuh masa sebagai kedi golf tidak ada banyak kerja waktu itu.
“Saya hendak berubah, bukan mudah jadi orang miskin. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim. Pada pihak berkuasa, tolong bertindak ikut undang-undang. saya hanya mencari sesuap nasi untuk keluarga saya. Kami pun hendak beraya macam orang lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu ditemani ibu bapanya, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan dihadiri peguam Rafique Rashid dan pengamal perubatan Dr Mohd Hafidz Rizal.
Diharapkan siasatan dapat dilakukan secara telus melibatkan kedua-dua belah pihak.
Masing-masing – penguat kuasa dan Abang Belon berhak mendapat keadilan atau pembelaan sewajarnya. Biar mahkamah tentukan siapa zalim dan siapa dizalimi tanpa bersandarkan 13 kesalahan lampau.
Kerana kertas siasatan yang diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), adalah di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
Nnn