Adakah DBKL boleh layan saya macam sampah?”

KUALA LUMPUR 6 April -‘Abang Belon’, tampil membuat laporan polis hari ini selepas menerima rawatan di Hospital Serdang akibat insiden kekasaran melibatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 28 Mac lalu.

Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, yang ditemani ibu bapanya dan peguam, Rafique Rashid Ali membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Pada sidang media selepas itu, ‘Abang Belon’ meluahkan perasaannya berkaitan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan memiliki rekod jenayah lampau, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.

Bagaimanapun berhubung rekod tersebut, beliau mempersoalkan apakah disebabkan rekod itu, beliau tiada hak untuk mencari rezeki halal.

“Pada 28 Mac saya di Sogo jual belon, saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim? 

Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? Kalau saya miskin, susah dan ada kes lampau, adakah DBKL boleh layan saya macam sampah? “ soalnya yang menangis teresak-esak pada sidang media itu.

Sementara itu, Rafique berkata Zaimuddin tidak akan mengulas mengenai rekod tersebut selagi tiada pengesahan rasmi.

Katanya lagi, kes lampau biasanya hanya dibangkitkan ketika perbicaraan, antaranya sebagai hujah oleh pihak pendakwaan agar hukuman lebih berat dikenakan, jika tertuduh disabit bersalah.

“Bagaimanapun, ada kes lampau ke, sudah masuk jel ke, sudah kena denda ke, itu langsung tidak menghalalkan perbuatan melampau oleh mana-mana orang terutamanya badan penguatkuasaan.

“Adakah dia hina sangat boleh diperlaku sebegitu rupa? Sedangkan kita tahu di Malaysia ini ramai mempunyai kesalahan lampau, ada yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan tetapi mereka tidak pula dimalukan” katanya lagi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment