Hamba Mu datang…

“HAMBA-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Bermulanya perjalanan ibadah Rukun Islam yang kelima. Kira-kira 1,000 jemaah terpilih dengan berpakaian ihram melaksanakan Tawaf Qudum (tawaf mula tiba) mengelilingi Kaabah pada hari pertama (29 Julai) musim haji tahun ini. Tawaf adalah ibadat pertama dilaksanakan sejurus memasuki Masjidilharam.

Jemaah memulakan hari pertama urusan haji mereka selepas menamatkan empat hari kuarantin di Makkah serta kuarantin kendiri selama seminggu di rumah masing-masing, sebagai sebahagian langkah pencegahan ketat bagi membendung wabak Covid-19.

Jemaah pada musim ini dihadkan kepada warganegara serta penduduk tetap Arab Saudi dan perlu memenuhi syarat ditetapkan selain tertakluk kepada prosedur kuarantin. Individu daripada 160 negara yang menetap di Arab Saudi dipilih untuk menyempurnakan haji tahun ini.

Penduduk tetap ditawarkan sebanyak 70 peratus tempat manakala 30 peratus lagi disediakan untuk warganegara.

Jumlah jemaah tahun ini kurang berbanding 2.6 juta orang tahun lalu bagi memastikan pelaksanaan penjarakan sosial dipatuhi.

Untuk memulakan urusan haji jemaah terlebih dulu pergi ke Miqat al Sail al Kabir (Wadi Muharram) untuk berihram dan memasang niat selepas mereka menamatkan tempoh kuarantin.

Jemaah yang sudah berihram kemudian bergerak ke Makkah untuk melaksanakan Tawaf Qudum sebelum bermalam di khemah di Mina bagi menyempurnakan Hari Tarwiyah (Hari menghilangkan dahaga) diikuti wukuf di Arafah pada hari berikutnya. 

Related posts

Leave a Comment