Sah BPT dicampur dalam beras import

SERDANG 26 Feb. – Spekulasi beras putih tempatan (BPT) dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran terjawab apabila sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur BPT.

Persoalan itu terjawab hasil kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, kajian menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau memberitahu pihaknya menerima sampel beras daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.

Mohd Syahril berkata, analisis itu dibuat bagi mengenal pasti hilangnya BPT di pasaran selaras dengan penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada tahun 2023.

Menurutnya, campuran beras itu dipercayai berlaku di peringkat pengilang di mana petani menanam padi menggunakan benih tempatan dan apabila dijual kepada pengilang, berlakulah campuran beras import serta BPT.

Sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh memberi bayangan kemungkinan terdapat penglibatan kartel dalam industri tersebut termasuk penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih dan import.

Mengulas lanjut mengenai analisis yang dilakukan, Mohd Shahril menjelaskan pusat penyelidikan itu mempunyai profil rujukan capjari DNA bagi kebanyakan tanaman termasuk lebih 50 varieti padi.

Katanya, Teknologi Pencapjarian DNA ini mampu mengesan varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik.

Mohd Syahril memberitahu, setiap sampel beras di dalam kampit dibahagi kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah dan diambil secara rawak. Ia kemudiannya melalui proses pengekstrakan DNA dan kawalan kualiti.

“Analisis penskoran pula dijalankan menggunakan perisian GneMapper5/Typer4,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, ketika ini tiada akta yang menegah perbuatan campuran beras putih tempatan dan beras import.

Ketika ini, pusat penyelidikan ini bersama-sama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membincangkan peraturan baharu berkaitan beras putih tempatan dan beras import.

Baru-baru ini, Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan menggesa KPKM memperkasakan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi menangani isu kekurangan beras tempatan yang berlarutan selama dua tahun.

Katanya, akta itu seharusnya ditambah baik dengan menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dan beras import sementara penguatkuasaan diperkasakan supaya kilang-kilang tidak mengambil kesempatan dengan isu harga siling beras.

“Rakyat tidak akan kenyang dengan kajian-kajian yang tiada tindakan. Adalah tidak logik hilangnya beras tempatan dari pasaran selama dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

(Foto ihsan MARDI)

Related posts

Leave a Comment