SEPANG 26 April – Fokus kepada ibadah! Ikut panduan yang ditetapkan. Itu pesanan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) Md. Daud Che Ngah kepada jemaah haji pada musim ini.
Md Daud yang berpengalaman luas dalam pengendalian haji dan umrah selama 50 tahun mengingatkan jemaah supaya memastikan peluang sekali menunaikan haji itu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya ibadah itu benar-benar sah.
“Ingat haji itu sekali sahaja, jangan mengharapkan nak ulang seperti melakukan umrah. Buat betul-betul, ikut apa yang telah ditunjuk ajar, berpegang kepada apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. In syaa Allah selamat,” katanya.
Beliau memberikan nasihat itu ketika ditemui media baru-baru ini semasa hadir mengucapkan selamat berangkat kepada 272 jemaah yang memilih pakej Andalusia, salah sebuah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diluluskan Tabung Haji musim ini.
Tahun ini kira-kira 500 jemaah akan mengikuti pakej Andalusia dengan dua penerbangan cater dan empat penerbangan komersial TH.
Md Daud yang pada kali ini turut terpilih sebagai jemaah haji TH menasihatkan jemaah supaya merujuk buku panduan yang disediakan sama ada oleh pihak TH atau PJH yang menjadi pilihan mereka.
“Kalau Tabung Haji bagi buku ‘pegang’ (jadikan rujukan, panduan) dan jangan buat sendiri-sendiri, berkaitan hukum rujuk kepada Tabung Haji atau guru agama atau mutawif yang dilantik,” katanya.
Katanya , bagi Andalusia, jemaah turut dibekalkan dengan “Buku Panduan Ibadat Haji & Perjalanan Masyair” yang menyediakan panduan perjalanan sama ada bagi yang memasuki Madinah terlebih dahulu atau sebaliknya, Makkah.
Buku panduan itu juga dilengkapkan dengan ringkasan perjalanan ibadah haji, cara mengerjakan haji Tamattuk, sunat-sunat haji, waktu solat pada Hari Masyair, aturcara perjalanan masyair haji serta zikir dan doa.
Dalam pada itu, Md Daud juga menasihatkan jemaah supaya tidak perlu bimbang dengan kesan konflik yang tercetus di rantau itu.
“Kita memahami wujud konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, dan memberikan tanda tanya kepada jemaah termasuk saya. Kami memahami kerisauan jemaah dan menasihati mereka supaya jangan bimbang. Fokuslah kepada ibadah,” katanya.
Nnnn
