TEL AVIV – Dua hari selepas gencatan senjata antara Israel – Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengarahkan tenteranya melancarkan serangan “secara agresif” terhadap sasaran Hezbollah di Lubnan.
Arahan itu disusuli dengan serangan baharu Israel ke atas selatan Lubnan, yang menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang pada Sabtu.
Pertempuran rentas sempadan yang berterusan itu sekali lagi menguji kestabilan perjanjian gencatan senjata, yang setakat ini hanya mengurangkan keganasan dan bukannya menghentikannya sepenuhnya.
Perjanjian gencatan senjata berkenaan dilanjutkan pada Khamis lalu selepas rundingan antara wakil kedua-dua negara di Washington.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan udara Israel ke atas sebuah trak dan motosikal di bandar Yohmor al-Shaqeef di daerah Nabatieh meragut empat nyawa.
Dua lagi terbunuh manakala 17 cedera dalam satu lagi serangan di Safad al-Battikh, di daerah Bint Jbeil.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pula mendakwa ia telah “menyingkirkan” tiga anggota Hezbollah yang menaiki sebuah kenderaan sarat dengan senjata, serta seorang lagi yang menunggang motosikal.
IDF turut memaklumkan dua anggota bersenjata Hezbollah terbunuh di kawasan Litani, yang kini menjadi zon penampan dengan kehadiran tentera Israel, dengan alasan mereka mengancam keselamatan anggota IDF.
Kemudian, IDF melaporkan mengesan satu “sasaran udara mencurigakan” berhampiran Malkia, sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu lagi pelanggaran gencatan senjata.
Selepas arahan Netanyahu, agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency (NNA), melaporkan beberapa serangan berturut-turut Israel di daerah Bint Jbeil, Tyre dan Nabatieh.
Tentera Israel mengesahkan ia menyerang infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan dan menegaskan akan terus bertindak tegas terhadap sebarang ancaman ke atas orang awam Israel serta tenteranya.
Israel dilaporkan masih menguasai sebahagian besar kawasan selatan Lubnan, selain menjalankan kerja perobohan secara besar-besaran di wilayah tersebut.
