SEPANG 26 April – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengemukakan permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini dianggotai oleh Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, surat permohonan ini tekah dihantar kepada Pengerusi PN, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Jumaat lalu (24 April) melalui Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan.
Putra diasaskan oleh Dr. Ibrahim Ali pada 17 Ogos 2018 dan pendaftarannya disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 Mei 2019.
Nasrul Ali Hasan dalam kenyataan, berkata, surat yang sama turut dihantar kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden MIPP Punithan Paramsiven
“Keputusan untuk memanjangkan permohonan ini adalah hasil kesepakatan sebulat suara Biro Politik Parti Putra dan sokongan daripada Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra pada Isnin lalu, selepas penelitian dan penilaian dibuat ke atas semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.
Falsafah perjuangan Putra iaitu ‘Bersih dan Bermoral’ menjadi teras kepada perbincangan serta perkembangan politik mutakhir yang mencabar dan menganggu-gugat kerangka negara yang mula terhakis akibat kerajaan Madani yang mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme,” katanya.
Menurut Nasrul Ali Hasan, pertimbangan permohonan ini juga tidak terhad kepada mewujudkan kerjasama pakatan pilihan raya yang hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi semata-mata.
Sebaliknya ia juga atas prinsip mendokong penyatuan ummah serta semangat untuk bersama-sama memperkasakan perjuangan bangsa dan negara berteraskan Asas Perlembagaan Negara bagi kepentingan semua rakyat Malaysia di bawah Naungan DYMM Raja-raja Melayu melalui sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berintegriti.
Sehubungan itu, Putra yakin dapat membantu dan menambah sedikit sebanyak kekuatan PN bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-16 dengan menyatukan undi-undi orang Melayu dan Pribumi.
Putra berharap agar PN terus menjadi tunjang penyatuan parti-parti politik di Malaysia, sekali gus berperanan sebagai alternatif kepada PH-BN yang dilihat gagal serta dilanda pelbagai isu dan kontroversi.
“Putra juga yakin akan diterima sebagai salah satu parti komponen dalam PN,” katanya.
Nnnn
