DUN Kedah bubar Rabu, 28 Jun

ALOR SETAR 25 Jun –  Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau diterima menghadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman bagi memohon perkenan baginda membubarkan DUN pada pukul 10.45 pagi ini.

Katanya, sebaik pembubaran dibuat pada 28 Jun ini, semua urusan pentadbiran akan diteruskan kerajaan interim di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.

“Hari ini, saya ingin memaklumkan bahawa saya diterima menghadap Sultan Sallehuddin untuk memohon perkenan bagi pembubaran DUN Kedah yang Ke-14 dan baginda memberi perkenan untuk DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun 2023.

Saya ingin memaklumkan bahawa bermula pada tarikh berkenaan, pentadbiran kerajaan negeri akan dijalankan kerajaan interim yang mana segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga pentadbiran baharu dibentuk selepas PRN,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan pentadbiran negeri atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

Katanya, sepanjang pentadbirannya, Kedah diuji dengan dua bencana alam besar iaitu kejadian kepala air di Yan dan Kuala Muda selain banjir puing di Kampung Iboi, Baling, namun ia berjaya diuruskan dengan baik.

“Kelancaran kita menghadapi ujian ini tidak akan dicapai jika bukan kerana keprihatinan dan sifat mengambil berat Tuanku Sultan, Sultanah dan Raja Muda yang sering mengambil tahu, memberi nasihat untuk memastikan nasib dan kehidupan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pembangkang yang melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negeri ini,” katanya.

Persidangan DUN Kedah yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pada 3 Julai 2018, dengan mandat lima tahun sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun dari PKR, Johari Abdul, memaklumkan mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu, sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari Pas, Mohd Isa Shafie, meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Related posts

Leave a Comment