MELAKA 26 April – Melayu perlu disatukan, bukan diperbodoh dan kutuk di sana sini yang kesannya akan memecah belahkan lagi orang Melayu di negara ini, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang melabelkannya ‘budak catur’ kepada Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu dilihat lantang mengkritik DAP, namun hakikatnya hanya memainkan peranan yang ditentukan kepimpinan parti.
Muhamad Akmal berkata, beliau bukan sekadar budak catur, yang bukan setakat lawan DAP di ceramah sahaja tetapi mempunyai dua kes mahkamah lawan pemimpin DAP.
“Saya ada dua kes mahkamah lawan pemimpin parti itu (DAP). Jadi kalau sampai di mahkamah pun kita boleh lawan, tetapi YAB (Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md Nor) cakap kita budak catur, terpulanglah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pads itu Dr Muhamad Akmal kecewa terhadap kandungan ceramah berkenaan yang disifatkan lebih menjurus kepada serangan peribadi berbanding membawa cadangan membangunkan Melaka.
“Saya ingat dia datang Melaka untuk berceramah mengenai cadangan untuk bangunkan negeri ini lebih baik daripada apa yang Barisan Nasional (BN) buat sekarang, tapi rupanya hanya kutuk orang,” katanya.
Beliau turut menggesa Muhammad Sanusi supaya menasihati ADUN Rembia, Muhamad Jailani Khamis yang menyertai Pas supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, Jailani didakwa tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tempohnya singkat, namun mampu hadir ke ceramah politik.
“Jumaat lalu Speaker DUN, Datuk Ibrahim Durum maklumkan YB Rembia cuti sakit tiga bulan kerana kaki retak, tetapi malam semalam boleh hadir ceramah Pas Tanggungjawab hadir sidang dewan tidak dibuat, tapi ceramah sanggup datang walaupun dalam MC (cuti sakit),” katanya.
Beliau berkata, sidang Dewan Undangan Negeri hanya berlangsung empat hari dalam tempoh empat bulan, namun masih ada wakil rakyat yang gagal hadir.
“Mungkin ceramah Pas lebih penting daripada tanggungjawab hakiki kepada rakyat.
Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti biar rakyat Melaka nilai siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan siapa yang kaki ponteng,” katanya.
Nnnn
