PUTRAJAYA 10 Feb. – Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan, tiada syarat tempoh pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk syarikat yang terpilih dan berkelayakan untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).
Sebaliknya, keutamaan MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi.
Dalam penjelasan terhadap persoalan kelayakan yang dibangkitkan di media sosial,
MOT dalam kenyataannya berkata, hasil penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati tiga syarikat yang terpilih memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan itu.
Kenyataan itu juga menjelaskan, pemilihan syarikat adalah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], termasuk syarat kelayakan, prosedur, peraturan, dan standard yang telah dipaparkan di laman sesawang MOT dan JPJ sejak 23 April 2024.
Sebanyak 12 syarikat mengemukakan cadangan dalam proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober 2024.
Semua permohonan sudah dinilai mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Tatacara Perolehan Secara RFP yang berkuat kuasa sejak 29 November 2022.
Antara syarat utama yang perlu dipenuhi oleh syarikat yang menyertai proses RFP termasuk, berdaftar dan berlesen dengan SSM serta pihak berkuasa tempatan (PBT); dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sdn Bhd atau Bhd dan memiliki modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan.
Sejak 1994, Puspakom menjadi satu-satunya syarikat yang diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disebabkan itu, tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan fungsi-fungsi Puspakom sebelum ini.