Kadar kesuburan Singapura turun

SINGAPURA – Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Singapura menurun secara mendadak kepada paras terendah baharu 0.87 pada 2025 berbanding 0.97 pada 2024, dan 1.24 sedekad lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong.

Beliau berkata berdasarkan data awal, Singapura menyambut kelahiran sekitar 27,500 bayi dalam kalangan penduduk Singapura pada 2025, merupakan angka paling rendah pernah dirakam dalam sejarah.

Katanya, TFR 0.87 bermakna setiap 100 penduduk kini diunjurkan hanya mempunyai 44 anak dan 19 cucu untuk generasi ketiga.

“Kadar perkahwinan telah turun dan mereka yang sudah berkahwin mempunyai bilangan anak lebih rendah atau tiada anak,” katanya semasa pernahasan Jawatankuasa Perbekalan 2026 di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, Gan juga menyatakan, satu lagi cabaran yang wujud adalah penduduk republik itu menua lebih cepat berbanding sebelum ini, dengan generasi baby boomer kini berusia 60-an dan lebih tua.

Pada tahun lepas, satu daripada lima warganegara berumur 65 tahun ke atas, berbanding satu daripada lapan pada 2015.

Menurut Gan, kadar pertumbuhan penduduk Singapura perlahan sepanjang sedekad walaupun berlaku imigrasi, jatuh daripada purata 0.9 peratus setahun dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, kepada 0.8 peratus setahun dari 2020 hingga 2025.

Pada 2025, kadar pertumbuhan penduduk hanya meningkat pada 0.7 peratus,

“Kurangnya kelahiran hari ini bermakna semakin kurang golongan muda dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang. Jika tiada langkah baharu diambil, populasi rakyat kita akan mula menyusut pada awal 2040-an,” kata Gan.

Related posts

Leave a Comment