Erdogan terima ijazah UM

PUTRAJAYA 10 Feb. – Universiti Malaya (UM) hari ini menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa kepada Recep Tayyip Erdoğan bagi mengiktiraf sumbangan besar Presiden Turkiye itu kepada diplomasi global dan rundingan antarabangsa.

Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Canselor UM, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada Erdoğan pada istiadat konvokesyen khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Dalam ucapannya Erdoğan amat berbesar hati menerima anugerah berprestij yang berfungsi sebagai pemangkin untuk menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

“Saya menerima anugerah ini sebagai cerminan penghormatan yang ditunjukkan kepada saya, negara saya dan rakyat saya,” katanya yang tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi dua hari.

Sementara itu Naib Canselor UM, Prof Dr Noor Azuan Abu Osman mengesahkan komitmen universiti untuk memperkukuh kecemerlangan global melalui kerjasama erat, persahabatan antarabangsa, dan memelihara nilai, norma dan etika sejagat.

Ini sejajar dengan aspirasi Universiti Malaya untuk mewujudkan platform strategik jangka panjang yang mewujudkan impak global yang ketara.

“Anugerah kehormat ini bukan sahaja cukup bermakna dan bersejarah, tetapi juga memangkin usaha Universiti Malaya dalam mengiktiraf individu terbilang yang memberi inspirasi dan menjunjung nilai sejagat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment