DAP cadang mesyuarat Majlis Presiden PH

SUNGAI BULOH 14 Sept l – DAP akan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan perkembangan politik terkini.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, mesyuarat itu wajar diadakan sebaik Anwar pulang daripada lawatan rasminya ke luar negara bagi meneliti perkembangan serta beberapa kenyataan politik yang dibuat kebelakangan ini.

“Beberapa kenyataan yang dibuat sudah tentu tidak baik dari segi kepastian dan kestabilan politik negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Pemeriksaan M.V.15 Carsome Academy, di sini hari ini.

Justeru mesyuarat Majlis Presiden PH boleh menjadi platform untuk membincangkan perkembangan berkenaan dan memperjelaskan pendirian gabungan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai kenyataan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini yang menyentuh mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid antara lain meminta supaya Kerajaan Perpaduan mengeluarkan UMNO secara rasmi melalui pengundian di Dewan Rakyat jika mahu parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Ditanya sama ada PH akan mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan BN atau cabaran yang dibangkitkan kepemimpinan UMNO, Loke menegaskan sebarang maklum balas rasmi di peringkat tertinggi perlu diberikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun Loke berkata, perkembangan politik terkini tetap dipandang serius kerana ia boleh menimbulkan persepsi bahawa parti-parti komponen dalam kerajaan tidak bergerak dalam arah yang sama.

“Jadi, saya fikir Perdana Menteri juga perlu jelaskan dengan semua parti komponen,” katanya

Related posts

Leave a Comment