Himpunan Perpaduan Ummah terbuka – Akmal

SEPANG 14 Sept. – Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam melibatkan semua tanpa mengira parti atau bangsa, kata Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal yang diberi tanggungjawab menggerakkan usaha itu berkata, pihaknya tidak pernah menutup atau mengehadkan himpunan perpaduan ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi.

Beliau menjelaskan, UMNO dan Pas yang juga dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini hanyalah penggerak utama untuk himpunan ini.

“Himpunan ini melibatkan semua tidak kira parti atau bangsa. Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput. Himpunan perpaduan ummah ini himpunan kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pintu himpunan itu perlu dibuka kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.

Katanya, orang Melayu sudah terlalu lama berpecah sama ada dalam UMNO, Pas, Pejuang, Wawasan, Bersatu dan lain-lain tetapi masih bangsa yang sama, agama yang sama dan tanah air yang sama.

“Kita pernah lihat apa yang berlaku bila orang Melayu bersatu. Kita juga sedang lihat apa yang berlaku bila orang Melayu memilih untuk terus berpecah.

Sebab itu himpunan sejuta umat ini jangan sekadar jadi himpunan UMNO dan Pas. Bukalah pintunya kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.

Jangan tanya dulu dia ahli parti mana. Jangan tanya siapa kawannya dulu dan siapa lawannya dulu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, dalam situasi ketika ini, persoalan berkenaan latar belakang parti, siapa yang mahu menjadi `abang’ atau `adik’ dalam kerjasama politik atau persengketaan dalam kalangan parti politik berteraskan Melayu-Islam perlu dielakkan.

Sebaliknya, menurut beliau, apa yang diperlukan ialah kesanggupan mengenepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.

“Sejuta orang berhimpun memang besar. Tapi angka sejuta tak bawa apa-apa makna jika selepas bersurai kita kembali mencaci, menjatuhkan dan mengkhianati satu sama lain,” katanya yang menyambut baik himpunan itu.

Tambah beliau, himpunan sejuta ummah itu perlu menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar iaitu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan orang Melayu dan umat Islam sebagai musuh.

“Kita tak perlu bubarkan semua parti untuk bersatu. Kita hanya perlu setuju bahawa dalam perkara yang melibatkan masa depan bangsa, agama dan negara, kepentingan bersama mesti mengatasi kepentingan parti dan individu,” katanya.

Sebelum ini, ketika ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Dr Akmal untuk menggerakkan usaha mengadakan himpunan itu.

Katanya, Akmal perlu bekerjasama dengan Pas bagi memastikan gerakan tersebut dilaksanakan secara tersusun dan berterusan.

“Akmal, abang berikan mandat dan kerjasama elok-elok dengan mereka (Pas). Gerakkan roadshow ke negeri-negeri sebelum kemuncak melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat,” katanya

Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut perlu digerakkan secara tersusun dan berterusan menerusi program serta jelajah di setiap negeri sebelum diadakan himpunan besar-besaran di peringkat pusat.

“Saya mohon persetujuan untuk memberikan mandat kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menggerakkan usaha ini. Kita adakan ‘roadshow’ dari negeri ke negeri sebelum kemuncaknya melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment