PKR: Saifuddin belum putuskan jawatan

PUTRAJAYA 10 Feb. – Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding dalam Pemilihan PKR yang dijadual berlangsung Mei ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, beliau akan menilai dan mengambil beberapa pertimbangan sebelum membuat keputusan.

“Saya akan (solat) istikharah dululah,” kata Saifuddin ringkas ketika ditemui media pada Majlis Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Beliau ditanya sama ada akan bertanding semula jawatan Timbalan Presiden PKR, selepas ditewaskan pada pemilihan 2022 oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menang dengan majoriti 16,668 undi.

Baru-baru ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Katanya, cadangan itu adalah berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

Namun, beberapa pemimpin PKR berpandangan dua jawatan utama itu harus dipertandingkan bagi menghidupkan demokrasi dalam parti berkenaan.

Jawatan Presiden PKR ketika ini disandang oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh bulan lalu memberitahu parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.

Related posts

Leave a Comment