KPDN, Jakim serbu kilang sandwich

PUTRAJAYA 13 Jan.  – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita pelbagai jenis sandwich dalam serbuan di sebuah kilang di Sunway Damansara, Petaling Jaya kerana disyaki menyalah guna logo halal, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dalam serbuan pukul 1 tengah hari itu, pihaknya juga menyita sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.

Katanya, serbuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu susulan aduan yang diterima Jakim dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk sandwich yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Hasil maklumat awal, premis adalah sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk sandwich serta menggunakan penandaan logo halal Jakim yang disyaki tamat tempoh.

“Premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak Jakim dan logo halal yang dilekatkan pada produk sandwic ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan menjual perniagaannya kepada syarikat diserbu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, sijil pengesahan halal juga disahkan sudah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023.

Katanya , kertas siasatan dibuka dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal)2011.

KPDN katanya, ingin memberikan amaran kepada semua pihak yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa serta memastikan kesemua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi standard halal yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah perundangan berkaitan.

“Kesalahan seumpama ini amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam.

“Selain tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwich itu ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich terbabit,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment