SEPANG 13 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan sandwic ‘ham dan keju’ yang dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Dalam kenyataannya, Jakim berkata, pihaknya selesai melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu dan semakan mendapati syarikat yang menghasilkan produk terbabit juga bukan pemegang sijil halal.
Justeru, tindakan syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Menurut kenyataan itu, tindakan undang-undang juga telah diambil oleh KPDN.
Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi ‘Verify Halal’.
Pastikan produk tersebut dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti.