SINGAPURA 16 Okt. – Polis mengesahkan tiada bom dalam pesawat Air India Express menuju ke Singapura dari India selepas menyelesaikan pemeriksaan keselamatan ke atas penerbangan tambang murah itu di Lapangan Terbang Changi.
Pesawat itu selamat mendarat lebih sejam selepas jadual ketibaannya.
Terdahulu syarikat penerbangan itu menerima e-mel mengenai dakwaan ancaman bom dalam penerbangan AXB684 dari Madurai, bandar selatan India yang kemudiannya diiringi dua a jet pejuang F-15 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF)
Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai ancaman bom itu pada pukul 8.25 malam dan menyelesaikan pemeriksaan selepas pesawat mendarat.
Siasatan sedang dijalankan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang dengan sengaja menimbulkan kebimbangan awam.
Alat menjejak penerbangan, Flightradar24, menunjukkan pesawat itu berlegar kira-kira sejam di timur Singapura sebelum mendarat.
Media melaporkan sekurang-kurangnya lima penerbangan India menerima ancaman bom pada 15 Oktober menyebabkan pemeriksaan kecemasan, dengan sekurang-kurangnya dua penerbangan melakukan pendaratan kecemasan.
Penerbangan Air India Express ke Ayodhya pada 15 Oktober menerima ancaman bom melalui panggilan telefon, dan penerbangan itu kemudian melakukan pendaratan cemas.
Sebuah pesawat Air India, yang terbang dari ibu negara India, New Delhi, ke Chicago, terpaksa melakukan pendaratan cemas di Kanada.
Syarikat penerbangan itu berkata ia menjadi mangsa “ancaman keselamatan yang disiarkan dalam talian” dan sebagai “langkah berjaga-jaga” mendarat di Lapangan Terbang Iqaluit di Kanada.
