KOTA BHARU 16 Okt. – Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di lapan daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, kata Presidennya, Mohamad Sabu.
Beliau berkata agihan kerusi dibuat hasil perbincangan Pakatan Harapan (PH), tetapi kerusi mana yang akan ditandingi parti itu belum dimuktamadkan tetapi akan mempertahankan DUN Bukit Katil.
“Kita diberi lapan kerusi termasuk mempertahankan DUN Bukit Katil, namun perbincangan belum dimuktamadkan berhubung kerusi yang akan bertanding.
“Kita masih mempunyai masa memandangkan penamaan calon akhir bulan dan pengumuman calon PH pula akan dibuat Sabtu depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan di sini, hari ini.
Mohamad dalam pada itu mengakui mempunyai peluang untuk memenangi PRN Melaka.
“Berbanding di Johor dan Negeri Sembilan, banyak isu perkauman dimainkan sehingga pengundi beralih, namun kita yakin situasi itu tidak mampu berlaku di Melaka,” katanya.
Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah (JKP Nasional) malam tadi memutuskan Konvensyen Amanah Nasional yang dijadualkan pada 14-15 November, 2026 ditangguhkan ke 21-22 November.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, penangguhan itu susulan tarikh berkenaan bertembung dengan PRU DN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.
Berikutan penangguhan itu, Amanah mengarahkan jentera parti di seluruh negara untuk memberikan tumpuan dan bersama-sama turun membantu gerak kerja kempen PH bagi memastikan perubahan besar berlaku dalam pilihan raya itu.
“Amanah percaya bahawa PRN Melaka ini merupakan peluang terbaik bagi rakyat menolak politik sakau dan pukau supaya keadilan dan kemakmuran dalam negara terutama di negeri Melaka dapat ditegakkan,” katanya.
Nnnn
