KUALA LUMPUR 16 Okt. – Hampir 30 peratus daripada keseluruhan 315,388 penerbangan dijadualkan antara Januari hingga Ogos lalu, menghadapi masalah kelewatan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Katanya, 90.2 peratus daripada jumlah itu dilapor ditangguhkan kurang dari dua jam manakala bakinya menghadapi kelewatan melebihi tempoh berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan kelewatan itu, hanya 258,112 daripada keseluruhan penerbangan yang dijadualkan dalam tempoh dinyatakan, dioperasikan oleh syarikat penerbangan domestik.
“Bagi menangani isu kelewatan dan pembatalan (penerbangan) ini, kementerian dan MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) pada April lalu, menetapkan 85 peratus sasaran OTP (‘On-time Performance’).
Selain itu, 80 peratus penerbangan yang mematuhi jadual bagi semua syarikat penerbangan Malaysia beroperasi dari semua lapangan terbang di negara ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) mengenai isu kelewatan dan pembatalan penerbangan, merangkumi semua syarikat penerbangan domestik.
Sementara itu, Loke menafikan perkongsian strategik Malaysia Airlines dengan kelab bola sepak Inggeris, Manchester United (MU) pada Mac lalu, sebagai antara punca masalah operasi penerbangan kendalian syarikat itu.
Katanya, perkongsian strategik global kedua-dua pihak berkenaan hanyalah bertujuan sebagai strategi pemasaran dan tidak menjejaskan isu penyelenggaraan pesawat milik Malaysia Airlines.
Sebaliknya, beliau berkata, punca utama masalah operasi penerbangan adalah berikutan isu teknikal, didorong faktor geopolitik dunia dan beberapa lagi dengan keadaan itu turut menjejaskan syarikat penerbangan selain Malaysia Airlines.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata tempoh bayaran balik penuh kepada pengguna selama 30 hari bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang adalah jangka waktu maksimum.
Sebaliknya beliau berkata, syarikat penerbangan digalakkan mempercepat bayaran balik itu sebagai penambahbaikan ke atas prosedur operasi standard (SOP) mereka.
Nnn
