Tiada lapangan terbang khusus umrah

JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah menjelaskan bahawa tiada lapangan terbang khusus untuk ketibaan jemaah umrah di Arab Saudi.

Menurut kementerian itu, jemaah boleh memasuki dan meninggalkan Arab Saudi menerusi mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau domestik di negara itu.

Kementerian juga menjelaskan, tempoh maksimum untuk jemaah memiliki visa umrah tinggal di Arab Saudi ialah selama 90 hari dan mereka bebas bergerak antara Makkah, Madinah dan semua bandar lain di negara itu.

Tambah pihak kementerian, jemaah boleh merancang program umrah dan memohon visa menerusi saluran elektronik yang diluluskan bagi perkhidmatan umrah individu.

Ziarah umrah mesti diluluskan menerusi aplikasi Eatmarna bagi memastikan jemaah tidak dijangkiti koronavirus atau berhubungan dengan orang yang dijangkiti.

Pendaftaran menggunakan aplikasi Eatmarna dan pengeluaran permit umrah memerlukan pemohon memiliki visa yang sah bagi memasuki Arab Saudi.

Sementara itu Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan pindaan terbaru apabila menetapkan pemegang visa pelancong tidak boleh menunaikan haji atau umrah ketika musim haji.

Pindaan terbaru itu turut menetapkan pelancong wajib mematuhi peraturan dan arahan keselamatan sepanjang mereka berada di Arab Saudi termasuk sentiasa membawa dokumen pengenalan.

Bagi pemegang taraf pemastautin GCC pula boleh memasuki Arab Saudi menggunakan visa e-pelancong, sekiranya tempoh pemastautin adalah sah bagi sekurang-kurangnya tiga bulan.

Individu memegang taraf pemastautin GCC bermakna sesiapa yang mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

Ini turut merangkumi anggota keluarga pemegang visa kelas pertama yang datang bersamanya selain pembantu rumah yang datang bersama penaja mereka.

Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan yang membenarkan penduduk negara GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa ketika ketibaan (VOA).

Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.

Pemegang visa pelancongan dan perniagaan yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.

Related posts

Leave a Comment