Johor gesa mesyuarat tergempar ASEAN

JOHOR BAHRU 16 Okt. – Kerajaan Negeri menyeru negara anggota ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh tindakan pengawalan dan pencegahan kebakaran serta pemantauan titik panas pada masa akan datang.

Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Penyelarasan Bencana Peringkat Negeri yang turut memberi perhatian terhadap risiko jerebu rentas sempadan susulan aktiviti titik panas di Indonesia.

Beliau berkata Johor berdepan episod jerebu sejak 25 Ogos lalu dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Keadaan ini amat membimbangkan, khususnya terhadap kesihatan dan kehidupan seharian rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat terkini daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 453 titik panas dikesan di Kalimantan, manakala 153 lagi di Sumatera yang berpotensi meningkatkan risiko jerebu sekiranya berlaku kebakaran dan pergerakan asap merentasi sempadan.

“Kepada seluruh Bangsa Johor, marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri Johor dan seluruh negara daripada sebarang musibah dan bencana. Semoga kita semua sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan serta berada dalam lindungan dan rahmat-Nya,” katanya.

Setakat pukul 8 malam ini,  sejumlah 27 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan Pasir Gudang, Johor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 198.

Bacaan itu menunjukkan penurunan berbanding 204 yang direkodkan pada 4 petang, sekali gus menyaksikan perubahan kategori kawasan berkenaan daripada sangat tidak sihat kepada tidak sihat.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen pemantauan lain yang turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat ialah Larkin (196); Pengerang, (180); Kota Tinggi (171); Batu Pahat (170); Tangkak (159) dan Segamat (155).

Related posts

Leave a Comment