KETIKA kapal tentera laut China mungkin sudah meneruskan pelayarannya selepas ‘singgah berlabuh’ di Pulau Pinang, rakyat Malaysia terutama melalui media sosial, masih lagi ‘berlegar-legar’ membincangkan isu ini.
Kenapa begitu? Bukankah kapal perang yang sedang dalam pelayaran lazimnya akan singgah di mana-mana pelabuhan? Bukannya sesuatu yang luar biasa kapal perang berlabuh di pelabuhan Malaysia termasuk di Klang dan Pulau Pinang.
Suatu masa dulu ketika penulis bertugas di Pulau Pinang, pelbagai jenis kapal berlabuh di Swettenham Pier termasuklah kapal milik tentera atau kapal pesiaran pelancong. Media sering dijemput untuk membuat liputan atau naik ke kapal.
Maka boleh sahaja sesiapa pun senaraikan kapal-kapal yang sudah berlabuh di negara ini tanpa kontroversi. Berlambak. Cuma kali ini berlabuh dengan kontroversi.
Tidak pasti sama ada ia sengaja ditimbulkan atau sebaliknya. Adakah kerana dari China. Kenapa? Bukankah Malaysia – China punyai hubungan diplomatik yang baik? Malahan tahun ini sahaja pelbagai peringkat pemimpin sudah melawat China.
Boleh sahaja senarai panjangkan pemimpin kita yang melawat negara Tembok Besar itu tahun ini. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada hujung bulan lalu dan bulan ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Perdana Menteri China, Li Qiang juga mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia tahun ini. Begitulah akrabnya hubungan diplomatik Malaysia – China.
Malangnya lawatan kapal perang itu menjadi kontroversi selepas pelbagai laporan muncul melalui media massa terutama media sosial. Fokus laporan kepada kapal perang dan pasukan tentera yang disambut meriah serta masuk ke sekolah.
Ada yang mengaitkan dengan pembangkang yang tidak boleh masuk sekolah untuk ‘mengucapkan Selamat Hari Guru’ tetapi tentera luar dibenar masuk sekolah dengan kibaran bendera mereka. Apa pun, sekolah yang dimasuki itu sekolah persendirian!
Kata mantan Menteri Luar , Dr Rais Yatim, angkatan laut China itu disambut hebat, masuk ramai-ramai ke sekolah swasta, diberi sorak sorai seumpama menerima kepulangan pahlawan, wira negara kita pun tidak menerima sambutan begitu.
Seorang lagi mantan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah turut mempersoalkan sambutan ‘luar biasa’ tanpa menafikan kapal-kapal tentera laut asing berlabuh di pelabuhan negara ini bertujuan mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya.
“Mengapakah mereka diberikan sambutan yang begitu hangat dan meriah? Mengapakah mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu yang dipilih,” kata Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu itu.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz pula berkata, sambutan kerajaan Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet Kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) baru-baru ini merupakan sesuatu yang di luar norma kebiasaan.
Katanya, dua kapal besar People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83 itu melaksanakan ‘port-call’ secara bersama, walaupun tiada keperluan logistik berbuat demikian. Sambutan itu menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Itu pandangan mantan. Adakah kerana mereka berada dalam pembangkang, maka mereka berkata demikian? Apa pandangan menteri semasa? Sekurang-kurangnya kita mahu mendengar penjelasan penyandang jawatan menteri sekarang.
Bagaimanapun yang muncul memberi jawapan adalah di luar portfolio Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.
Rupanya selepas pelbagai andaian dibuat oleh rakyat, mereka yang masuk sekolah itu adalah sekumpulan pelajar termasuk pensyarah dari Naval University of China berkaitan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
Kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kunjungan itu adalah program pertukaran kebudayaan dan sukan serta mendapat kebenaran semua pihak autoriti.
Bagaimanapun penjelasan itu disanggah oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang mempertikaikan alasan Fadhlina, kononnya kehadiran itu bagi meraikan sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia – China.
Bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu mendakwa, sambutan hubungan diplomatik berlangsuang pada 31 Mei lalu manakala sambutan kejayaan revolusi Komunis China di sambut pada 1 Oktober.
“Apakah lawatan ini dibuat sempena sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia dan China atau sempena sambutan revolusi Komunis China sekaligus meraikan penubuhan RRC?” soal beliau yang juga wakil rakyat Bersatu.
Tambah Mas Ermieyati, tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Chung Ling membuat sambutan besar-besaran menerima kunjungan kadet dan kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan merupakan satu kecuaian.
Manakala Fahmi yang juga Jjurucakap Kerajaan Perpaduan, memberitahu tidak timbul soal ancaman kedaulatan negara susulan kehadiran dua kapal itu.
Menteri Komunikasi itu berkata, kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat (AS), China, India dan dari destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, namun semuanya mengikut protokol.
Dan Fahmi tidak lupa mengingatkan “Polis dan MCMC meneliti perkara (mengguna sentimen perkauman dan kebencian dalam isu berkenaan) dan akan mengambil tindakan kepada mereka (warganet) terutama yang menyebarkan maklumat palsu bukan hanya lawatan (kapal perang) tapi sebarang perkara sekalipun,”
Begitulah jawapan menteri yang mewakili kerajaan yang masih tidak meyakinkan sementara menanti jawapan rasmi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.
Diharapkan apabila kapal perang China ini berlabuh di negara mereka, isu ini akan turut ‘berlabuh’ di negara kita, asalkan segala persoalan dijawab dengan tuntas yang meyakinkan bukan umpama melepaskan batuk di tangga.
Kerajaan sepatutnya dapat ‘membaca’ atau ‘menghidu’ reaksi berhubung isu ini dan bersedia lebih awal menangkis ‘tohmahan’. Jangan cepat menganggap ia isu politik sedangkan ia dikaitkan soal keselamatan. Jika kerajaan cepat memberi penjelasan, kuranglah beban MCMC mengejar’ warganet yang timbulkan persoalan ini.
Semoga kerajaan khususnya Kementerian yang berkaitan lebih cepat bertindak pada masa depan tanpa menunggu warganet bersuara memberi pelbagai pandangan sehingga akhirnya mereka pula menjadi ‘mangsa’ MCMC.
Nnn