Singapura kembali ke Fasa 2

SINGAPURA 20 Julai – Mulai Khamis, 22 Julai hingga 18 Ogos, Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) untuk menangani kes Covid-19 yang terus meningkat.

Di bawah fasa itu, menjamu selera di kedai F&B tidak dibenarkan dan jumlah orang dalam perhimpunan sosial dihadkan semula kepada dua orang.

Semua perniagaan F&B, termasuk pusat penjaja dan pusat makanan, hanya dibenarkan menawarkan khidmat penghantaran, bungkus dan dibawa pulang mulai Khamis.

Baru-baru ini, Singapura mengorak langkah pertama dalam pelan pembukaan semula secara bertahap dengan beberapa kelonggaran termasuk makan berlima di satu meja berbanding berdua sebelum ini.

(Rujuk tulisan bertajuk Bukan mudah bebaskan dari Covid-19)

Menurut Kementerian Kesihatan, pemerintah akan menyemak semula langkah tersebut dalam dua minggu dan menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

Pasukan bertindak berbilang kementerian Covid-19 juga memutuskan untuk tidak melaksanakan langkah berbeza-beza bagi mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya.

Bagaimanapun pemerintah akan mempertimbangkan langkah sedemikian apabila kadar vaksinasi bertambah atau keadaan menjadi stabil.

Sebelum ini, ada perbezaan makan semeja lima orang dan dua orang bergantung kepada yang sudah mendapat vaksin sepenuhnya atau belum disuntik.

Pengerusi bersama pasukan bertindak Gan Kim Yong dalam satu sidang media hari ini berkata, pemerintah sedar langkah terbaharu itu mengcewakan banyak pihak terutama sektor seperti F&B.

“Sektor ini sangat terjejas memandangkan sekatan-sekatan sebelum ini, mereka juga berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan,” kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan itu.

Di samping itu, jumlah orang dibenarkan dalam perhimpunan sosial akan dikurangkan daripada lima kepada dua orang.

Jumlah tetamu di rumah juga dihadkan kepada dua orang setiap hari di mana orang ramai disaran mengehadkan perhimpunan sosial mereka kepada tidak lebih daripada dua dalam sehari.

Sama seperti tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sebelumnya dari 16 Mei hingga 13 Jun, cucu yang dijaga datuk dan nenek mereka tidak akan diambil kira bagi jumlah tetamu atau perjumpaan sosial.

Bagaimanapun datuk dan nenek digalakkan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, bagi melindungi diri mereka sendiri serta cucu-cucu mereka. Bagi mengurangkan risiko penularan, mereka juga harus mengurangkan pergaulan cucu dari isi rumah yang berbeza.

Pengerusi bersama pasukan bertindak Lawrence Wong juga sedar bahawa sektor perniagaan ternanti-nanti pembukaan semula dan membuat persiapan untuk membezakan pelanggan mereka berdasarkan status vaksinasi.

Menyifatkan langkah melaksanakan semula Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sebagai  “keputusan yang sangat sukar untuk dibuat” beliau menjelaskan keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan ‘semasak-masaknya’

Kegiatan lain tanpa pelitup muka seperti kelas senaman berat dalam ruang tertutup atau kegiatan sukan dan senaman di tempat tertutup secara individu atau berkumpulan, juga dihentikan.

Khidmat peribadi yang perlu membuka pelitup seperti ‘facial’ dan sauna, serta menyanyi dan memainkan alat muzik tiup juga tidak dibenarkan.

(Foto FB Lawrence Wong)

Related posts

Leave a Comment