Apa selepas ‘tutup buku’ kerajaan Perpaduan Johor

SELEPAS ‘membiarkan’ sekutunya Amanah bersendirian membangkitkan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor, akhirnya DAP tampil berterus terang bahawa parti itu tidak ‘akan mengemis’ jawatan kerajaan negeri.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke dilaporkan berkata, jika mahukan jawatan kerajaan, “kita lawan pada pilihan raya dan menang”.

“DAP tak pernah ‘buka buku’ pun pasal Kerajaan Perpaduan, jadi jangan salahkan DAP kerana kita tak pernah cadang, ungkit atau tuntut ia ditubuhkan. Jangan ada mana-mana pihak pun nak menyalahkan DAP,” kata Loke.

Nampaknya, DAP tidak gelojoh atau bersikap ‘lebih sudu dari kuah’ seperti dilabelkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Nur Jazlan Mohamed terhadap Amanah dan PKR terutama isu tuntutan jawatan dan kuasa di Johor.

Amanah dan PKR hanya menang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan DAP 10 kerusi. Sepatutnya DAP lebih layak bersuara dan meminta balasan sokongan seperti ditunjukkan parti itu di Perak dan Pahang.

Tetapi DAP lebih bijak berpolitik. Menerima hakikat bahawa Kerajaan Johor ditubuhkan sebelum pembentukan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Perpaduan dan DAP tidak mahu mengganggu perjalanan kerajaan dan merumitkan keadaan.

DAP mahu isu ini dihentikan. Nampaknya berakhir sudah isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Justeru Pengerusi PH Johor dari Amanah, Aminolhuda Hassan, boleh melupakan idea yang mahukan Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Eloklah Amanah memperkemaskan parti untuk bertanding menambah kerusi pada PRN akan datang.

Hakikatnya UMNO Johor pernah berkongsi kuasa selepas ‘hilang kuasa’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018. UMNO dapat menduduki semula kerusi Menteri Besar pada penggal yang sama walaupun seketika akibat kedudukan tidak stabil.

Mungkin selepas rakyat sudah ada pengalaman di bawah pentadbiran yang tidak stabil dan silih berganti, mereka kembali menyokong BN.

Apa pun, ‘kelebihan’ Johor tanpa Kerajaan Perpaduan, kerusi DUN tidak terikat dengan mana-mana parti. Maknanya sesiapa sahaja boleh bertanding di 56 kerusi yang ada. Adakah ia akan berlaku? Masih terlalu awal untuk mencongaknya tetapi MKT UMNO memutuskan memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika kecoh Amanah mahu bertanding pada PRK Mahkota, Pengerusi DAP Johor ketika itu, Liew Chin Tong, menjelaskan DAP berpegang kepada prinsip ‘incumbency’ di mana kerusi yang dimenangi pada PRU dan PRN sebelum ini akan ditandingi parti penyandang pada PRK.

Itu PRK. Bagaimana pula pada PRU dan PRN? Ini isu yang menarik perhatian. Sementara ‘buku kerajaan Perpaduan’ ditutup, parti politik sudah tentu sedang berkira-kira jumlah kerusi yang akan ditandingi.

Adakah Johor, negeri kelahiran UMNO akan bergerak solo tanpa berkongsi kuasa dengan PH pada PRU akan datang bagi membentuk Kerajaan Perpaduan? Atau UMNO Johor akan bangkit tanpa mengharapkan DAP, Amanah dan PKR?

Hakikatnya tidak ada parti yang akan melepaskan kerusi mereka kepada orang lain. Maka dalam konteks Johor, hanya tiga kerusi berbaki yang dimiliki Bersatu, Pas dan Muda. Pilihan lain adalah mencabar BN. Apa pun apabila tiba PRN, ia terbuka.

Seperti kata Loke: “Itu belum sampai ke sana. Kita akan bincang apabila sampai masanya nanti di peringkat Persekutuan termasuk apa model kerjasamanya, pembahagian kerusi dan sebagainya, sama ada kita bekerjasama atau sebaliknya itu akan diputuskan kemudian,”.

Berdasarkan keputusan PRN lalu, adakah BN kini dalam keadaan selesa? Selak semula keputusan bersejarah PRU-14 apabila BN kecundang dan PH buat pertama kali berjaya menawan Johor di samping Negeri Sembilan dan Melaka.

PH menang 36 kerusi berbanding 19 BN dan Pas 1 tetapi kesudahannya Johor
menyaksikan pelantikan tiga menteri besar dalam tempoh kurang tiga tahun selepas PRU yang berlangsung pada 9 Mei 2018.

Dalam tempoh itu juga, UMNO ‘hilang kuasa’ seketika tetapi dalam penggal itu dapat bersama parti lain berkongsi kuasa. Kemenangan selesa BN pada PRN lalu mungkin selepas rakyat ada pengalaman di bawah pentadbiran yang silih berganti.

Selepas PRU14, pada 12 Mei 2018, ADUN Kempas, Osman Sapian 67 yang juga Setiausaha Bersatu Johor dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16. Bagaimanapun tidak sampai 11 bulan, beliau meletak jawatan pada 8 April 2019.

Berikutan peletakan jawatan itu, ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal juga dari Bersatu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April 2019. Sebelum itu, beliau adalah anggota Exco kerajaan negeri yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Bagaimanapun kerajaan PH Johor tumbang apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH pada 24 Februari 2020.

Susulan itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengadakan sesi temu bual bersama 56 ADUN berkenaan (dua ADUN tidak hadir) secara berperingkat yang membentuk gabungan baharu terdiri daripada Bersatu, UMNO, MIC dan Pas.

Akhirnya, ADUN Benut dari UMNO, Ir Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang ke-18 pada 28 Februari 2020. Namun perkongsian itu tidak lama susulan kematian Osman, yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember 2021.

Kematian ADUN Kempas itu mencetuskan kemelut politik apabila Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang. Hasni mengumumkan DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

“Keputusan melaksanakan PRN ini dibuat kerana saya merasakan kerajaan Johor ketika ini hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

Contohnya ketika sidang DUN lalu, ADUN pembangkang bertegas meminta untuk mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah walaupun perkara itu di bawah bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

Kerana mereka (PH) bertegas maka undian dibuat menyaksikan kedudukan seri 27 menyokong dan 27 membangkang, akhirnya Speaker DUN daripada PH menyokong kerajaan. Itu yang dikatakan atas ihsan pembangkang,” katanya.

Begitulah pengalaman UMNO Johor berkongsi kuasa ketika parti itu dalam keadaan tidak kuat, semasa parti itu bukan lagi ‘tiang seri’.

Mungkin keadaan yang tidak stabil itu mendorong rakyat atau pengundi Johor kembali memberi sokongan kepada UMNO setelah percubaan mereka untuk mencari sesuatu yang baharu’ tidak menampakkan kejayaan.

Related posts

Leave a Comment