Johor tubuh jawatankuasa khas

ISKANDAR PUTERI 6 Mei  – Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti aspek keselamatan di sekolah, susulan insiden seorang murid perempuan Tahun Dua yang maut dilanggar sebuah van di hadapan sekolah di Batu Pahat, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata selain meneliti punca kejadian, jawatankuasa itu akan turut memberikan tumpuan kepada penambahbaikan garis panduan keselamatan sedia ada, serta menyelaras pelaksanaan langkah keselamatan di peringkat negeri.

“Jawatankuasa ini juga akan menyokong pelaksanaan Kempen Sekolah Selamat yang tidak hanya membabitkan aspek keselamatan jalan raya, tetapi juga keselamatan murid dalam kawasan sekolah,” katanya selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Aznan berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diingatkan supaya memperketat kawalan terhadap kenderaan yang keluar masuk kawasan sekolah dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Semua kenderaan yang memasuki kawasan sekolah juga perlu berdaftar di pos keselamatan dan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko.

Katanya, kerajaan negeri akan memperkemas lagi garis panduan berkenaan yang diperkenalkan sejak 1999 termasuk melalui pelaksanaan Kempen Sekolah Selamat yang dijadual dilancarkan awal bulan depan, yang merangkumi aspek pergerakan keluar masuk murid, kawalan trafik serta keselamatan dalam kawasan sekolah.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga mangsa serta murid-murid yang terkesan bagi membantu mereka menangani trauma akibat kejadian itu.

Semalam, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun Nur Aini Umairah Mohd Fareez maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat. Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai jam 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan ketika mangsa menunggu dijemput ibunya pulang.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.

Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata, beliau sudah memaafkan pemandu van berkenaan.

“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan, jadi kalau kita hendak menyalahkan seseorang pun tak boleh juga, …siapa nak bunuh orang?

Untuk pakcik melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya. Saya reda kerana setiap yang hidup ini sudah ada ketetapan dari Ilahi,” katanya ditemui ketika menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Fareez meminta orang ramai agar tidak menyalahkan pemandu van terbabit kerana kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

“Permintaan saya ialah janganlah marah pada pakcik itu. Kalau kami sebagai ibu bapa sudah reda, takkan nak marah dia lagi, …kasihanilah pakcik itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment