PKDM bergerak solo hadapi PRN

PENAMPANG 9 Okt. – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) akan bertanding antara 30 hingga 35 kerusi secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Presidennya, Peter Anthony berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira kedudukan PKDM yang dianggap sebagai parti kecil manakala kerusi yang akan ditandingi adalah kawasan yang ramai pengundi Kadazandusun dan Murut.

“Pimpinan parti kita sebulat suara memutuskan untuk bergerak secara solo kerana kita ini parti kerdil, bukan macam mereka (parti lain), ada PAs, ada PN (Perikatan Nasional).

Mana ada orang mahu parti kecil ini, parti nyamuk. Pada PRN nanti kita akan bertanding antara 30 hingga 35 kerusi, semuanya di kawasan KDM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ketika ini, PKDM memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Melalap yang disandang Peter dan Bandau yang disandang timbalan presidennya, Wetrom Bahanda.

Peter berkata beliau dan Wetrom bakal mempertahankan kerusi masing-masing, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sebarang perubahan kerusi yang akan diumumkan menjelang PRN17 nanti.

Ditanya sama ada pihaknya menerima pelawaan daripada mana-mana parti untuk membentuk kerjasama menghadapi PRN, Peter mengakui ada perbincangan tidak rasmi dibuat, namun PKDM tetap dengan keputusan untuk bergerak sendiri.

Katanya, soal kerjasama hanya akan dibincangkan selepas keputusan PRN17 diketahui, yang mana ketika itu PKDM mungkin boleh menjadi ‘king maker’ atau parti yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Beliau juga memberitahu pihaknya menyediakan pelan B’ atau langkah yang akan diambil jika beliau tidak boleh dicalonkan selepas keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan kes memalsukan dokumen membabitkan dirinya diketahui pada 27 November ini.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Ia adalah rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lalu menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.

Dalam perkembangan lain, Peter mengesahkan menyaman Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57),  Zulkarnain Mahdar sebanyak RM100 juta kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dan mendahului mahkamah berhubung kes dihadapinya.

Katanya, kenyataan Zulkarnain menerusi TikTok yang antara lain mempertikaikan kelayakannya menjadi menteri sebelum ini disebabkan kes yang ditanggungnya adalah tidak wajar, selain berbaur penghinaan terhadap mahkamah.

Related posts

Leave a Comment