GAZA – Penyakit kulit parasit seperti kudis buta serta cacar air di Semenanjung Gaza meningkat dengan ketara, tiga kali ganda dari Januari hingga Mac lalu yang menunjukkan keadaan kesihatan awam semakin merosot.
Menurut laporan situasi mingguan oleh Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin, keadaan itu disebabkan tahap sanitasi lemah, kekurangan air dan sekatan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan.
Laporan itu menyebut, pihak berkuasa pendudukan Israel masih menggunakan air sebagai senjata, sekali gus menghalang hak asasi rakyat Palestin di Gaza terhadap akses kepada air serta memburukkan lagi penderitaan mereka, dalam satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin.
Di samping itu, laporan itu turut mendedahkan bahawa kira-kira 1.4 juta penduduk di kawasan penempatan sementara di seluruh Semenanjung Gaza, tinggal dalam tempat perlindungan yang sesak.
Keadaan diburukkan lagi dengan kehadiran haiwan perosak seperti tikus, penularan kes jangkitan kulit dan kutu, serta pelbagai masalah kesihatan lain.
Selain itu, menurut Biro Statistik Pusat Palestin, keadaan ekonomi di Semenanjung Gaza kini sangat membimbangkan dengan pasaran buruh hampir lumpuh sepenuhnya.
Kadar pengangguran pula melonjak kepada sekitar 68 peratus pada suku keempat 2024, berbanding 45 peratus sebelum pencerobohan Israel.
Laporan itu juga menyebut, serangan terhadap paderi Kristian dan institusi keagamaan di Palestin turut meningkat minggu ini serta peningkatan insiden rampasan pelbagai barangan peribadi seperti senjata, barang kemas, selimut dan gambar peribadi milik penduduk oleh pasukan pendudukan Israel (IOF).
Nnn
