SEPANG 6 Mei – Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mampu mencetuskan masalah lebih besar dalam hubungan rakan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kenyataan Lim Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan tidak membantu sebaliknya boleh mengeruhkan keadaan.
“Kenyataan sedemikian tidak membantu, malah boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang timbul kebelakangan ini,” katanya.
Dalam kenyataannya, Menteri Besar Pahang itu berkata, jika Guan Eng mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan BN, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau.
“Namun demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional.
Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan BN sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan serta menggesa rakyat menolak mereka pada pilihan raya akan datang.
Merujuk percubaan UMNO Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menggulingkan Menteri Besar, Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Bagan itu berkata bahawa ia membuktikan gabungan tersebut sanggup mengetepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.
“Jelas sekali BN dan UMNO telah menunjukkan diri mereka sebagai rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan.
“Percubaan rampasan kuasa mereka di DUN Negeri Sembilan dengan menarik balik sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap menteri besar yang sah dan bekerjasama dengan ADUN PN (Perikatan Nasional) untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri Negeri Sembilan adalah satu contoh nyata,” katanya dalam satu kenyataan.
Nnnn
