PITAS 9 Okt. – Parti Impian Sabah (PIS) yang ditubuhkan Disember tahun lalu yang berpangkalan di utara negeri ini bersiap sedia untuk bertanding semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).
Timbalan Persiden, Rakman Shakmat, berkata parti baharu itu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi PRN Sabah menerusi penubuhan 73 bahagian di negeri ini.
“Bahagian pertama PIS dilancarkan secara rasmi di Pitas semalam sebagai pangkalan utama penyelarasaan gerak kerja parti dalam menghadapi PRN17. PIS bersiap sedia bertanding semua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17,” katanya.
Melalui satu kenyataan hari inii, beliau berkata, PIS yang mahu melakar sejarah tersendiri belum memikirkan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain, terutama dari Semenanjung atau parti gabungan di Sabah.
Sementara itu Ketua PIS Bahagian Bengkoka, Matin Ugung, berkata dua perkara penting diberikan keutamaan parti dalam membangun serta mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan.
“Dua perkara itu adalah menangani isu hasil minyak dan gas di negeri ini supaya dikendali sendiri orang Sabah. Selain itu, kita pastikan dasar dan prinsip PIS adalah memastikan budaya rasuah perlu ditolak habis-habisan,” katanya.
