Langkah Mahkota cetus ‘perang mulut’

SUDAH menang kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN) Mahkota, macam-macam cerita keluar. Perang ‘mulut’, tuduh menuduh, sindir menyindir melibatkan dua tiga kerat pemimpin parti Kerajaan Perpaduan – UMNO, DAP, Amanah dan PKR.

Tidak seperti suasana selepas Perikatan Nasional (PN) menang di DUN Sungai Bakap – yang menang tenang, tidak berlaku  ‘perang mulut’ sementara yang kalah membisu seribu bahasa, mungkin meratapi kekalahan walaupun sebelum itu yakin.

Mujurlah ‘perang’ parti politik Kerajaan Perpaduan di Mahkota berlaku sebelum penamaan calon dan selepas Barisan Nasional (BN) diisytiharkan mempertahankan kerusi itu. Jika berlaku sebelum itu mungkin bukan pertandingan satu lawan satu.

Kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota bukanlah satu kejutan. Tidak ada apa yang mengejutkan berkaitan angka kecuali kejutan ‘perang mulut’ sebaik sahaja Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan kerusi BN itu.

Sejak awal lagi, PN tidak diberi harapan untuk menang kerana yakin BN mendapat laluan mudah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang jika berlaku ‘perpindahan’ sokongan oleh penyokong PH tidaklah sampai memudaratkan BN.

Berdasarkan matematik mudah, BN memang mampu menang besar apabila kemenangan lalu digabungkan dengan undi diperoleh PH semasa PRN 2022.

Pada PRN lalu, calon BN menang kerusi N.29 Mahkota dengan majoriti 5,166 selepas calonnya Sharifah Azizah Syed Zain memperoleh 16,611 undi diikuti PH (11,445), PN (7,614) dan Warisan (555). Pada PRK, lalu BN memperoleh 27,995 undi.

Dan pada PRK, walaupun atas nama calon BN (sebab Johor tak ada Kerajaan Perpaduan), sokongan PH sudah tentu kepada BN dan matematik mudah undi PRN 16,611 + 11,445 = 28,056. Maknanya beza 61 undi sahaja jika guna formula BN+PH.

Malahan, bekas ADUN Skudai dari DAP, Dr Boo Cheng Hau mendakwa lebih 14,000 daripada 27,995 undi diterima Syed Hussien adalah dari penyokong PH.

Bagi PN dengan 7,347 undi berbanding 7,614 pada PRN,  jika matematik mudah digunakan, calonnya hilang 267 undi dan tidak sepatutnya berlaku jika sebilangan pengundi Warisan memihak kepada PN. Apa pun pengundinya tetap kekal.

Maka sekali lagi berdasarkan matematik ini, tidak ada kejutan yang mengejutkan lebih-lebih lagi jentera BN yang begitu hebat berkampung dan berkempen. Kejutan hanya berlaku jika PN mampu mencuri undi tambahan dari pengundi Warisan.

Adalah agak sukar untuk PN memperoleh undi penyokong UMNO di Johor. Berdasarkan keputusan PRN lalu, ternyata sokongan kepada UMNO masih kuat walaupun tidak seperti suatu masa dulu, tidak ada ruang untuk DAP, Pas atau PRM.

Pendirian UMNO Johor yang agak ‘tegas’ terutama ketegasan Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi memberi sedikit harapan kepada penyokong UMNO.

Berbekalkan 40 kerusi, BN/UMNO mempunyai majoriti yang cukup membentuk kerajaan secara sendirian tidak seperti ketika tewas pada PRU sebelum itu yang menyaksikan pelantikan tiga Menteri Besar termasuk melalui gabungan parti.

Pada PRN lalu, PH menang 11 kerusi (10 DAP ; 1 Amanah), PKR 1 (bertanding logo sendiri): PN 3 (2 Bersatu, 1 Pas) dan Muda 1.

Memandangkan PRN diadakah sebelum PRU15, maka UMNO Johor mempunyai asas kukuh untuk tidak membentuk Kerajaan Perpaduan yang asasnya dibentuk disebabkan tidak ada parti yang mempunyai majoriti dan perlu berkongsi kuasa.

Justeru, isu Kerajaan Perpaduan Johor perlu dihentikan supaya pentadbiran berjalan lancar, bukannya diasak dengan perebutan kuasa.

Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat perlu menasihatkan ‘anak-anak buah’ di semua peringkat supaya ‘tidak mengganggu’ kerajaan BN Johor, sama seperti mana mereka mengharapkan pembangkang ‘tidak mengganggu’ pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Biar Johor dengan rentaknya sendiri.

UMNO pula tidak perlu sombong atau angkuh walaupun terpaksa menebalkan muka apabila pelbagai ‘keburukan dan kerosakan’ hari ini didakwa disebabkan pentadbiran kerajaan terdahulu. Berulang-ulang kenyataan itu ‘dinyanyikan’. Siapa tunjang kerajaan terdahulu jika tidak UMNO? Malulah sikit!

Ingat kata Dr Boo, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, yang juga pengamal perubatan yang menyifatkan PH sebagai pakar bedah yang menyelamatkan BN sehingga mendapat sokongan semula rakyat, terbaharu pada PRK Mahkota. BN perlu berterima kasih kepada PH!

Beliau mendakwa salah urus ekonomi dan rasuah semasa pemerintahan BN-UMNO telah merosakkan negara. Keadaan itu ibarat pesakit kencing manis tenat yang memerlukan pembedahan amputasi sebelum gangren lebih mudarat.

Itu reaksi kepada kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Nur Jazlan Mohamed yang menyeru PH memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas segala tohmahan, tuduhan, dan persepsi yang didakwa ‘dicipta sejak berpuluh tahun lalu’, sehingga menyebabkan parti itu dipandang kotor pengundi.

Tidak cukup dengan itu, Nur Jazlan juga ‘menyinggung’ Amanah sehingga Timbalan Presiden Dr Mujahid Yusof Rawa tampil dengan kenyataan ‘jangan besar kepala’.

Nur Jazlan dilaporkan mendakwa, UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan adalah pemain utama yang menguasai ‘meja poker’. Amanah dan PKR tidak ada kelebihan penyokong dan jentera. Mereka patut tak boleh duduk di meja poker.

“Saya tak main poker, jauh sekali mesin kuda. Menang besar tak apa, jangan besar kepala,” kata Mujahid dalam reaksi ringkasnya.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin pula menasihatkan UMNO jangan terlalu angkuh dengan kemenangan besar kerana ia tidak mungkin berlaku tanpa kerja keras PH bagi memastikan pengundinya dan tidak beralih sokongan.

“Inilah perangai sesetengah pemimpin UMNO yang masih belum terhakis, angkuh. Baru menang beberapa kerusi sudah mendabik dada,” katanya.

Tidak ketinggalan, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing yang kecewa dan menyifatkan tidak bertanggungjawab kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros tentang kehadiran pengundi Cina rendah pada PRK itu.

“Tanpa ucapan terima kasih, komuniti ini sebaliknya dipersalahkan sehingga mengundang rasa kecewa dan kecil hati. Perlu ingat, Kerajaan Perpaduan memberi perhatian besar terhadap PRK ini, tanpa peduli fahaman serta idealogi politik, semua pemimpin parti turun padang menangkan calon BN,” katanya.

Sudah seminggu PRK Mahkota berlalu. Syed Hussien sudah pun mengangkat sumpah sebagai ADUN. Apa lagi mahu dikisahkan kemenangan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment