DAP tidak tuntut jawatan di Johor

JOHOR BAHRU 6 Okt. –  DAP hari ini tampil menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah mengemis jawatan atau mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan turut ditubuhkan di Johor, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Beliau berkata, DAP tidak pernah ‘buka buku’ untuk sebarang perbincangan atau mengungkit berkaitan penubuhan kerajaan Perpaduan.

Katanya, DAP selesa sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pengimbang yang menyokong kerajaan negeri bagi menjunjung titah Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya ada wakil pengimbang.

Justeru beliau mahu polemik kononnya Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu, dihentikan.

“Nasihat saya pada ahli DAP supaya bersabar dan mainkan peranan kita sebagai ADUN dan Ahli Parlimen. Kita teruskan berkhidmat, pastikan kita kuat dan menang sokongan rakyat supaya dapat kekal setiap kerusi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di sini, hari ini yang turut dihadiri, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pendirian DAP sejak dulu adalah jelas bahawa parti itu tidak pernah mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Malah, katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Chin Tong sejak tahun lalu supaya tidak perlu bincang, ungkit mahu pun mencadangkan mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

“Kita menerima hakikat bahawa Kerajaan Johor hari ini ditubuhkan sebelum Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Johor sudah tubuh kerajaan negeri dan kita tidak mahu ganggu perjalanan kerajaan dan tak nak rumitkan keadaan.

“DAP tak pernah ‘buka buku’ pun pasal Kerajaan Perpaduan, jadi jangan salahkan DAP kerana kita tak pernah cadang, ungkit atau tuntut ia ditubuhkan. Jangan ada mana-mana pihak pun nak menyalahkan DAP,” katanya.

PH menerima hakikat bahawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Barisan Nasional (BN) menang 40 kerusi manakala PH 12 kerusi (DAP 10, Amanah, PKR masing-masing satu), Muda 1 manakala Perikatan Nasional (PN) 3 (Pas Bersatu 1).

Sebelum ini, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dari Amanah menegaskan sudah tiba masanya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu bagi merealisasikan gabungan yang lebih mantap selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Kami dalam Amanah sudah mengutarakannya sejak akhir tahun lalu mengenai Kerajaan Perpaduan di Johor. Kita bukan nak mendesak. Terpulanglah kepada kepada mereka,” katanya.

Sementara itu mengulas bentuk kerjasama antara PH dan BN Johor dalam pilihan raya umum dan PRN16 nanti, Loke berkata, ia akan dibincangkan apabila waktunya pilihan raya akan berlangsung.

“Kita akan bincang apabila sampai masanya nanti di peringkat Persekutuan termasuk apa model kerjasamanya, pembahagian kerusi dan sebagainya, sama ada kita bekerjasama atau sebaliknya itu akan diputuskan kemudian,” katanya.

(Foto fb Liew  Chin Tong)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment