KOTA TINGGI 6 Okt.- Penganjuran larian antarabangsa di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini, adalah di luar pengetahuan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), tidak mendapat mana-mana kelulusan.
MPP menerusi kenyataan di Facebook (FB) berkata, tiada pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
Justeru sebarang kesalahan undang-undang termasuk menganjurkan aktiviti yang tiada permit akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil berkuatkuasa yang digunapakai.
MPP juga tidak akan memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di kawasan pentadbiran MPP.
“Sebarang penganjuran program perlulah membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran serta kelulusan terlebih dahulu daripada PBT bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Sementara itu polis menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Kota Tinggi kira-kira pukul 10 malam bagi membantu siasatan.
Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Beliau berkata, polis turut merampas pakaian dan aksesori dipercayai dipakai atau digunakan mereka ketika larian itu, termasuk sehelai sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak serta sebatang tombak tiruan berwarna perak.
“Hasil siasatan awal mendapati tindakan ketiga-tiga suspek itu adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.
“Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dialu-alu menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah ke talian hotline IPD Kota Tinggi (07-8831222) atau bilik gerakan (07-8831221),” katanya.
