KUALA LUMPUR 28 Ogos – Menelusuri Sirah dan Umrah bersama duta We Express Alif Satar pada hujung tahun ini bukan sekadar menunaikan ibadah umrah tetapi juga akan diisi dengan pelbagai aktiviti di Riyadh, Al Ula, Madinah dan Makkah.
Pakej 12 hari 10 malam bersama syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) itu akan berlangsung pada 17 hingga 28 Disember depan dan terhad kepada 135 jemaah sahaja.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej berkenaan bermula dari RM12,290 sehingga RM15,990 dengan diskaun sebanyak RM300, jika pendaftaran dilakukan sebelum 31 Ogos ini.
Katanya , jemaah yang mengikuti pakej ini akan mendapat pengalaman berbeza berbanding umrah sebelum ini kerana mereka akan dibawa melawat tempat-tempat ziarah yang berlainan yang ada sejarahnya.
“Pada kali ini kita akan berada dua malam di Riyadh dan satu malam di Al Ula,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian bersama Saudi Tourism Authority (STA) dan We Express sempena Road Show Nusuk semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, WE Xpress, Norhisham Osman, dan Alif.
Menurut Ida Riswana, pelbagai aktiviti diadakan melalui pakej yang turut mendapat kerjasama erat daripada STA sebagai penasihat dan beberapa organisasi lain termasuk kereta api laju SSTPC.
Katanya, antara aktiviti dan lokasi yang bakal dikunjungi dalam siri pakej berkenaan ialah Al Masmak Palace, Saudi National Museum, Souk Al Zal dan program Fun Walk & Run bersama Alif Satar.
Pakej ini bermula di Madinah diikuti Khaybar dan Al Ula sebelum ke Makkah untuk umrah pada hari kelima disusuli ke Jeddah pada hari ke lapan dan ke Riyadh pada hari kesembilan seterusnya kembali ke tanah airi pada hari ke-12 (28 Disember).
Sementara itu, Alif Satar berkata, perjalanan umrah pada kali ini sangat berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat pelbagai pengisian yang menarik.
“Antaranya Geng Subuh Macam Jumaat di Madinah, berkhemah pada waktu malam di padang pasir dan Fun Walk & Run sejauh 4 kilometer dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba.
“Kita akan melalui jalan-jalan yang pernah dilalui Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah dan juga tempat-tempat bersejarah serta lawatan yang berbeza dengan pakej umrah yang lain,” katanya.
Nn
