KOR Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengeluarkan amaran akan menyasarkan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) sekiranya lebih ramai pemimpin utama Iran dibunuh dalam serangan disasarkan Washington.
Media Iran dan antarabangsa melaporkan, IRGC mendakwa, syarikat teknologi AS memainkan peranan penting dalam membantu proses pengesanan serta penjejakan sasaran bagi operasi pembunuhan, sekali gus menjadikan mereka ‘sasaran sah’ bagi tindakan balas.
IRGC menamakan 18 syarikat gergasi AS yang merangkumi sektor teknologi, perisian, kewangan, penerbangan dan pembuatan.
Antara syarikat yang disenaraikan ialah Apple, Google, Meta, Microsoft, Intel, IBM, Oracle, Tesla, Hewlett Packard, Dell, Cisco, Nvidia, Palantir, JP Morgan, General Electric dan Boeing.
IRGC menetapkan bahawa syarikat-syarikat itu perlu menjangkakan pemusnahan unit operasi mereka sekiranya satu lagi pembunuhan pemimpin Iran berlaku.
Ancaman itu berkuat kuasa pukul 8 malam waktu Tehran, 1 April dan dalam amaran lain, IRGC menggesa pekerja syarikat-syarikat teknologi AS di Asia Barat meninggalkan tempat kerja serta-merta dan penduduk yang tinggal dalam radius satu kilometer dari pejabat syarikat berkenaan berpindah ke kawasan lebih selamat.
Langkah itu susulan pembunuhan beberapa tokoh kanan Iran sejak perang bermula pada 28 Februari, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Komander utama IRGC, Mohammad Pakpour dan Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani.
Amaran IRGC dilihat selari dengan beberapa insiden serangan ke atas syarikat AS yang sudah berlaku.
Pada awal Mac, Amazon melaporkan dua pusat datanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) diserang dron, manakala satu pusat data lain di Bahrain turut rosak akibat letupan berdekatan.
Semua kes itu meningkatkan kebimbangan bahawa aset digital dan infrastruktur syarikat AS di Asia Barat kini berada dalam keadaan berisiko tinggi.
Ancaman terbuka terhadap syarikat teknologi AS menandakan fasa baharu peningkatan konflik, dengan Iran kini mengalihkan tumpuan kepada aset komersial global yang dianggap berkait dengan operasi ketenteraan AS.
Nnnnn
