SEPANG 10 Ogos – Ketika Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming begitu yakin gelombang merah dan tsunami rakyat akan bermula di Perak, Pemuda MCA membuat tanggapan berbeza dengan mempersoalkan sama ada ia satu sindiran.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata kenyataan Kor Ming bahawa ‘Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan’ seolah-olah menyindir kepemimpinan DAP di Johor dan Negeri Sembilan.
Kor Ming dilaporkan berkata: “Di Perak kita raikan kepelbagaian dan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). Di sini akan bermula gelombang merah dan tsunami rakyat”.
Kenyataan itu dilihat seolah-olah ditujukan kepada Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan bekas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke susulan prestasi PH termasuk DAP dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) di kedua-dua negeri itu sebelum ini.
Beliau berkata, kenyataan itu turut menimbulkan persoalan sama ada terdapat perbezaan pendekatan atau kesepakatan dalam PH di ketiga-tiga negeri itu.
Sebelum ini, media melaporkan Kor Ming menyatakan keyakinan terhadap kebangkitan ‘Gelombang Merah’ di Perak sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap perjuangan PH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun ke-60 DAP di Buntong, Perak, sambil menegaskan keunikan negeri itu yang meraikan kepelbagaian dan perpaduan sebagai asas kepada pembentukan politik yang membina.
Sementara itu, Choo Seong turut mempersoalkan naratif politik yang bakal diketengahkan DAP di Perak menjelang pilihan raya akan datang.
“Apakah naratif politik DAP di Perak nanti, selain daripada ‘bebas Najib’ dan ‘gelombang hijau’ seperti yang dibuat dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan?,” katanya.
Choo Seong berkata, setiap pemimpin berhak bersikap optimis dan Kor Ming mungkin yakin DAP Perak mempunyai kedudukan lebih kukuh berbanding parti itu di Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan PRU DN sebelum ini menunjukkan DAP berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan pengundi.
“Suka atau tidak, realiti membuktikan rakyat semakin menolak DAP. Rakyat pun menyuarakan pandangan mereka terhadap DAP secara nyata dan lantang.
“Dalam PRN Sabah, DAP bertanding lapan kerusi tetapi tidak menang satu pun, manakala di Johor, DAP bertanding 17 kerusi dan hanya memenangi enam.
“Di Negeri Sembilan pula, DAP menang sembilan daripada 11 kerusi, namun dua kerusi yang kalah itu membabitkan kawasan Setiausaha Agung DAP, Loke dan Exco Negeri Sembilan, S Veerapan,” katanya.
Choo Seong berkata, rakyat Perak juga bijak menilai rekod prestasi Kor Ming dan DAP sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018.
Beliau turut membangkitkan isu projek MyKiosk dengan mempersoalkan kos pembinaan yang didakwa antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi setiap unit, selain isu ketelusan pelantikan kontraktor dan kadar pengisian kiosk.
“Selain projek kontroversi MyKiosk yang memakan kos terlampau besar, pelantikan kontraktor yang tidak telus serta kadar pengisian MyKiosk yang didakwa kurang, apa lagi sumbangan Kor Ming kepada masyarakat?” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan MCA, Choo Seong mengakui parti itu masih berdepan cabaran untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina.
Katanya, MCA menyedari sokongan pengundi Cina terhadap parti itu belum kembali ke tahap sebelumnya dan perkara itu menjadi asas untuk parti berkenaan melakukan muhasabah serta mempergiat usaha mendekati rakyat.
“Bukan mudah untuk mengembalikan sokongan 95 peratus pengundi Cina kepada MCA. Kami sedar kami masih belum mendapat sokongan sepenuhnya, terutama daripada masyarakat Cina. Sebab itu kami muhasabah diri dan terus berusaha serta bekerja keras untuk mendapatkan semula sokongan pengundi,” katanya.
Nnn
