Penjawat awam 40 ke atas jalani pemeriksaan

SEPANG  4 Ogos – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan penjawat awam berusia 40 tahun ke atas yang sudah menunjukkan tanda-tanda obesiti diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, program kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) boleh dilakukan untuk mengawal dan memantau kumpulan penjawat awam yang mempunyai masalah obesiti.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, objektif khusus program ini adalah mengenal pasti kumpulan penjawat awam berisiko dan faktor kepada penyumbang masalah terbabit, disusuli dengan merangka dan melaksanakan program intervensi.

Katanya , setiap program intervesi dilaksanakan perlu dinilai keberkesanannya supaya mencapai objektif ditetapkan.

Peserta yang menunjukkan penurunan positif boleh dibebaskan daripada program intervensi yang dilaksanakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali ‘bermasalah’ obesiti).

Semalam,  Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali memaklumkan 50 peratus penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah obesiti dan berat badan berlebihan.

Tambah Adnan lagi, perkara sama boleh juga dilaksanakan di sektor swasta bagi memastikan golongan pekerja di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat, di samping melakukan aktiviti pekerjaan lain.

“Tindakan bersama oleh majikan masing-masing boleh membantu mengurangkan masalah obesiti di Malaysia dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau memaklumkan, masalah berat badan berlebihan bukanlah perkara baharu di Malaysia dan ia tidak hanya membabitkan penjawat awam.

Menerusi laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) KKM 2023, katanya ia menunjukkan 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan, sekali gus meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

Justeru katanya, masalah kegemukan berlebihan bukan merujuk kepada penjawat awam saja, kerana ia melibatkan semua rakyat yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Masalah kegemukan rakyat Malaysia perlu diambil perhatian lebih serius semua pihak kerana perkara ini tidak sepatutnya dinormalisasikan. Masalah ini bukan melibatkan penjawat awam saja,” katanya.

Adnan berkata, obesiti dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung dan Cuepacs melihat masalah ini dalam kalangan penjawat awam lebih kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup individu.

“Untuk menangani obesiti secara berkesan sebenarnya datang daripada dalam diri kita sendiri.

“Jika kita perhatikan sudah banyak program kesedaran kesihatan dibuat misalnya membabitkan media massa, selain kempen penerangan awam. Banyak juga maklumat pendidikan mengenai pemilihan makanan yang sihat dihebahkan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment