UMNO komited kestabilan Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Walaupun bertembung pada pilihan raya negeri, UMNO kekal komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan menghormati Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO,  Azalina Othman Said berkata, perbezaan strategi atau kerjasama dalam sesuatu pilihan raya negeri tidak dengan sendirinya membuktikan Perjanjian Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan dilanggar.

Katanya, setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politik tersendiri dengan rakyat pada peringkat negeri juga mempunyai aspirasi dan berhak menentukan wakil serta kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi.

Justeru dakwaan bahawa UMNO mengkhianati PKR dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar dinilai secara terasing atau semata-mata berdasarkan keputusan politik pada peringkat negeri.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, dakwaan sedemikian perlu dinilai secara tenang, bertanggungjawab dan berdasarkan fakta.

Azalina berkata Malaysia ialah sebuah Persekutuan dan kerjasama politik pada peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin hasil formula gabungan politik yang sama pada peringkat Persekutuan.

Justeru, sebarang perbezaan yang wujud pada peringkat Persekutuan perlu diurus secara matang agar tidak menjejaskan pentadbiran dan keyakinan rakyat.

“Keutamaan kita mestilah memastikan Kerajaan Persekutuan terus stabil, agenda reformasi dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat sentiasa didahulukan sehingga ke penghujung penggal,” katanya.

Beliau menarik perhatian perjanjian Kerajaan Perpaduan dimeterai bagi membentuk serta menjamin kestabilan Kerajaan Persekutuan sepanjang penggal Parlimen ke-15 dengan kerjasama parti yang berbeza berasaskan semangat saling menghormati tanpa menghapuskan identiti, orientasi atau pendirian politik masing-masing.

Dalam pada itu, Azalina berkata, wacana mengenai Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan seharusnya memberikan tumpuan terhadap keupayaan melaksanakan komitmen kepada rakyat.

“Kerajaan Perpaduan perlu meneruskan pelaksanaan komitmen kepada rakyat sepanjang baki tempoh Parlimen ke-15 sebagaimana dijanjikan dalam manifesto blok politik masing-masing pada PRU15,” katanya.

Mnn

Related posts

Leave a Comment