GUA MUSANG 4 Ogos – Jika semalam Pas dan Bersatu diibaratkan dua beradik seperti kakak dan adik, hari ini Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Pas sebagai abang sulung.
Beliau menyifatkan demikian bagi menepis dakwaan Pas menunggang Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri
“Kita Pas macam abang sulung, kalau adik ada kelemahan di mana-mana, kita tampung. Itu gunanya PN, tampung-menampung, tolong-menolong, bantu-membantu,” katanya ketika ditemui di Kampung Renok, di sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat itu yakin gabungan itu bukan sahaja boleh mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, malah mampu memperoleh majoriti undi lebih besar.
Beliau yakin calon PN yang bertanding menggunakan logo Pas akan menang dengan majoriti tidak kurang 2,000 undi.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, Pas dan Bersatu ibarat dua beradik seperti kakak dan adik dalam keluarga PN yang akan saling tolong menolong.
Beliau menegaskan, tidak timbul sebarang isu pemilihan calon Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN bagi bertanding pada PRK itu.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata,, jentera pilihan raya PN juga sudah bergerak masuk ke kawasan pedalaman Orang Asli untuk berkempen.
“Kita tidak perkecil lebih 2,000 pengundi Orang Asli. Kita susun jentera masuk jumpa pengundi Orang Asli. Saya rasa, zaman sekarang, jarak bukan penghalang, kita ada pelbagai kaedah berkomunikasi untuk menyampaikan maklumat.
“Mereka akan keluar mengundi, dulu (pilihan raya negeri 2023), kita dapat 100 lebih sahaja undi Orang Asli (di Nenggiri). Kini, Gelombang PN melanda seluruh negara, termasuk kawasan Orang Asli, sudah sampai gelombang kita,” katanya.
Beliau juga mendakwa, ketiadaan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) mengiringi calon Barisan Nasional (BN) pada proses penamaan calon semalam memberi gambaran berlaku konflik dalaman kerjasama gabungan lawan itu.
Nnn
