AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) umpama ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan beberapa gabungan parti untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka akan datang.
Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata beberapa pihak dijangka tampil menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.
“Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramai yang mahu meminang. Kena tunggulah.
“Jadi pastinya saya sebagai ‘ketua dalam keluarga’ ini akan memilih siapa yang memberikan hantaran mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya,” katanya di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka, di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri prosiding perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap Timbalan Ketua Penerangan Bersatu , Mohamad Ali Mohamad.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Ia susulan pendirian Ab Rauf untuk membuka ruang rundingan dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun menegaskan rundingan berkenaan tidak semestinya berakhir dengan perjanjian atau persetujuan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, setakat ini belum ada mana-mana parti politik atau gabungan yang mengadakan rundingan rasmi berkaitan kerjasama menghadapi PRU DN Melaka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan BN Melaka sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak.
Perbincangan itu bagaimanapun tidak semestinya akan mendapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.
Beliau berkata, sebarang asas rundingan kelak mesti berpaksi kepada keutamaan BN untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN ke-15 lalu.
Mengulas pendirian Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang enggan bertanding dalam PRN sekiranya wujud kerjasama antara BN dan PH, Ab Rauf berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dirumuskan kerana ‘jodoh’ BN belum dimuktamadkan.
Nnnn
