KOTA KINABALU 4 Ogos – PKR Sabah melancarkan Deklarasi Kinabalu yang menggariskan tujuh perkara yang disebut sebagai ‘SINERGI Keadilan Sabah’ pada majlis Himpunan Perdana Rakyat sempena meraikan 25 tahun PKR Sabah.
SINERGI itu merujuk kepada S (Satu); I (Integriti dan Inovasi); N (Nilai); E (Ekonomi); R (Reformasi); G (Glokal) dan I (Idea).
Perasmian Deklarasi Kinabalu itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Pengerusi PKR negeri, Mustapha Sakmud ketika berucap pada majlis itu berkata ‘Satu’ memperincikan PKR sebagai parti yang menyatukan rakyat dalam pengukuhan agenda negara bangsa berdasarkan kerangka Malaysia Madani.
Perkara kedua iaitu ‘Integriti dan Inovasi’ mengangkat pemerkasaan perkhidmatan kepada rakyat melalui tatakelola kerja berintegriti, berinovasi dan penuh empati.
Ketiga, ‘Nilai’ pula bagi PKR Sabah mengutamakan politik dengan nilai dan adab, merit serta keupayaan kapasiti yang berkualiti dalam menjamin kepimpinan insani dan kalis masa hadapan.
Perkara keempat iaitu ‘Ekonomi’ memperincikan PKR Sabah memastikan kemudahan infrastruktur asas yang memberi kehidupan berkualiti kepada rakyat dapat disampaikan secara saksama di semua kawasan khususnya luar bandar.
“Selain itu, PKR Sabah sebagai parti politik yang menjuarai reformasi melalui pendemokrasian pendidikan dan kemahiran (TVET) yang manusiawi serta berteraskan digital dan inovasi dalam meningkatkan kemajuan daya fikir sumber manusia sesuai ekosistem ekonomi negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Menerusi Glokal selaku perkara keenam pula, beliau berkata PKR Sabah akan mempertahankan kedaulatan dan autonomi Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bertindak sebagai masyarakat glokal yang memperjuangkan hak orang Asal.
Selaras perkara ketujuh iaitu ‘Idea’, PKR Sabah akan meletakkan negeri ini sebagai wilayah peneraju idea dan pemimpin pemikiran kehidupan masyarakat yang pelbagai.
Turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin; Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon Ming Fung; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Presiden Parti Cinta (PCS), Anifah Aman; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Joniston Bangkuai.
