PRK Mahkota: SPR mesyuarat 13 Ogos

PUTRAJAYA 4 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata ini susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

“Berdasarkan Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal (5) Perkara 23, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari SPR menerima pemakluman telah berlakunya kekosongan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang pada Jumaat lalu.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK pada Rabu lalu kerana mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Sharifah Azizah dalam pertandingan empat penjuru memperoleh 16,611 undi, menang dengan majoriti 5,166 undi.

Beliau mengalahkan Muhammad Taqiuddin Cheman (PH – PKR) yang memperoleh 11,445 undi, Mohamad Nor Lingan (PN – Bersatu) 7,614 undi dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan) yang memperoleh 555 undi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment