Dr Mahathir cuba elak kalah teruk

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hasrat Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Anwar Ibrahim adalah bagi mengelakkan Gerakan Tanah Air (GTA) kalah teruk.

Katanya, Dr. Mahathir tidak mahu mengakhiri kerjaya politik secara memalukan sekiranya GTA tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Mahathir tidak mahu mengakhiri hayat politik dengan tiada satu pun kerusi GTA dimenangi. Yang ini PH seolah-olah tidak sedar.,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengingatkan rakyat supaya tidak lagi bereksperimen dengan PH seperti pernah berlaku pada PRU ke-14 pada tahun 2018 di mana sebahagian besar ketidakstabilan politik disebabkan oleh pimpinan PH.

“Dr Mahathir yang melanggar janji untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.  Mahathirlah yang mencetuskan huru-hara politik dengan meletak jawatan secara tiba-tiba.

“Sudah pasti Mahathir tidaklah naif sangat dengan meletak jawatan. Tindakan ini sengaja dibuat bagi memastikan Anwar diperdayakan untuk sekian kalinya,” katanya.

Katanya, apabila keadaan politik PH huru hara, akhirnya UMNO dan GPS bertindak sebagai penyelamat dan penstabil politik negara pada ketika itu, begitu juga dengan parti-parti lain.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengalu-alukan Giant Killer PKR (bekas Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin) yang dilaporkan bersedia menawarkan diri bertanding di Bagan Datuk sesuai dengan penghijrahan Anwar Ibrahim.

“Namun siapa pula Super Giant Killer yang PKR ingin letakkan untuk melawan Mahathir di Langkawi? Takkan letak bekas ahli PKR melawan Atuk di Langkawi?

“Sepatutnya PKR dan PH meletakkan calon terbaik mereka di Langkawi. Jangan sekadar berani acah-acah sahaja bertanding di Bagan Datuk tetapi kecut hendak letak calon terbaik mereka di Langkawi

“Atau PKR dan PH masih sayangkan lagi Mahathir dan mahu Mahathir jadi calon perdana menteri sekali lagi dan sanggup menyerahkan kerusi kepada GTA,” katanya.

Related posts

Leave a Comment